LANGKAWI – Larangan rentas daerah dan negeri yang masih berkuat kuasa menyebabkan ada individu menyarankan Pulau Langkawi dijadikan lokasi perjumpaan keluarga.
Cadangan itu timbul susulan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) mengenai gelembung hijau pelancongan di Langkawi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru-baru ini.
Pengumuman itu membenarkan semua individu dari seluruh negara yang telah lengkap vaksinasi untuk melancong ke Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan keluarga yang ingin melepaskan rindu setelah sudah lama tidak bertemu.
“LTA menyambut baik cadangan untuk menjadikan Langkawi sebagai tempat pertemuan keluarga yang sudah lama tidak bertemu disebabkan larangan rentas daerah dan negeri.
“Langkawi ada banyak inap desa atau vila yang boleh menampung keluarga besar yang melancong ke sini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, cadangan itu bertepatan dengan langkah menjadikan Langkawi sebagai projek rintis gelembung hijau pelancongan.
Katanya, pertemuan keluarga di sini juga sebahagian daripada penanda aras bagi pembukaan destinasi pelancongan lain apabila pelancongan di Langkawi berjalan lancar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya ada memberikan cadangan dari segi keselamatan bagi mengurangkan penularan Covid-19 apabila Langkawi dibuka nanti.
Bagaimanapun, kata beliau, cadangan itu tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tunggu SOP penuh dikeluarkan untuk pastikan sama ada perjumpaan antara keluarga dari daerah atau negeri berbeza di Langkawi melanggar SOP atau tidak,” ujarnya.