KUALA TERENGGANU – Jemaah wanita yang khusyuk solat subuh berjemaah dikejutkan dengan kehadiran seorang pencuri di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, lelaki yang menutup sebahagian wajahnya dengan sehelai jaket sempat melarikan dua beg tangan milik jemaah wanita berusia 40-an.
Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Pengadang Baru, Asli Muhammad berkata, perbuatan suspek tersebut disedari salah seorang mangsa yang kemudian cuba mengejarnya.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek yang berbaju hijau muda memasuki ruangan solat jemaah wanita dari pintu di sebelah kiri masjid.
“Dia menunggu sehingga sehingga semua jemaah sedang sujud rakaat terakhir sebelum mengambil beg tangan kedua-dua mangsa yang solat di saf terakhir dan kedua terakhir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini hari ini.
Asli berkata, tindakan suspek yang tidak sengaja terpijak sebahagian kain telekung mangsa kedua yang solat di saf belakang membuatkan wanita itu tersedar beg tangannya dicuri.
Ujarnya, wanita berusia 50-an itu kemudiannya bertindak mengejar lelaki tersebut hingga ke pekarangan masjid namun gagal menangkapnya.
“Saya difahamkan suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sudah sedia menunggu di luar pagar masjid.
“Kedua-dua mangsa memaklumkan mereka kehilangan barangan berharga dianggarkan bernilai kira-kira RM1,000” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929