KLUANG – Tindakan pantas jiran yang menelefon polis selepas curiga dengan kehadiran dua lelaki di bumbung rumah jirannya membongkar kegiatan jenayah pecah rumah dalam kejadian di Impiana Bayu, Taman Seri Impian di sini hari ini.
Kejadian itu disedari kira-kira pukul 11.30 pagi oleh jiran depan rumah sebelum membuat panggilan kepada pemilik rumah selain panggilan kecemasan memaklumkan kegiatan jenayah itu.
Menurut mangsa, Lim Chek Chai, 61, ketika kejadian dia berada di Taman Rekamas Simpang Renggam sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran.
“Saya terus bergegas pulang ke rumah milik anak saya ini. Sebaik sampai saya dimaklumkan oleh polis, masih terdapat penjenayah yang berada di dalam rumah.
“Selepas saya membuka pintu utama rumah, salah seorang suspek sudah memegang kayu dan meluru ke arah saya. Akibatnya saya terjatuh selepas dirempuh keduanya yang cuba melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Chek Chai yang juga seorang peniaga berkata, rumah berkenaan adalah milik anaknya yang bekerja di Singapura dan dia selalu datang untuk membersihkannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul kurang 11.55 pagi.
“Anggota MPV Zon 2 Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah Kluang memaklumkan aduan pecah rumah di Taman Seri Impian, Kluang.
“Bertindak atas aduan tersebut , pada pukul lebih kurang 12.15, anggota MPV dengan bantuan orang awam berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an,”katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929