fbpx

De Ningrats komersialkan formulasi turun temurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk keluaran De Ningrats yang boleh didapati secara online melalui konsultan syarikat.

PETALING JAYA – Bertuah bagi seseorang usahawan yang ber­asal dari keluarga di mana nenek moyangnya memiliki kemahiran dan pengalaman dalam bidang perbidanan.

Pastinya nenek moyang mereka begitu arif dengan pelbagai rawatan dan penjagaan kesihatan dalaman atau luaran hanya menggunakan tumbuhan semula jadi dan herba yang memiliki banyak khasiat.

Resipi pembuatan jamu atau minyak urut selalunya akan diturunkan dari satu generasi ke generasi lain bagi membolehkan khasiat produk tersebut dimanfaatkan oleh ahli keluarga sehinggalah kepada cucu cicit.

Bagi yang mahu berkongsi khasiat dan manfaat formulasi produk tersebut bersama masyarakat, pastinya ia memberi peluang keemasan buat mana-mana usahawan untuk mengkomersialkannya ke pasaran.

Namun dalam masa yang sama teknologi dan formulasi daripada sejarah keluarga itu akan digunapakai atau mungkin diubahsuai seiring dengan perubahan gaya hidup moden masa kini.

Bagi Pengasas De Ningrats, Shahrul Mizan Abd. Jalil atau lebih dikenali sebagai Mizan As-Syatirie menyifatkan warisan tradisional itu sangat rugi jika tidak diamalkan apatah lagi terlalu banyak masalah kesihatan yang dihadapi masyarakat masa kini.

Tidak menafikan pentingnya perubatan moden untuk kegunaan masyarakat masa kini tetapi alternatif menggunakan produk berasaskan herba, rempah-ratus dan tumbuhan semulajadi adalah salah satu ikhtiar seseorang individu itu berdepan masalah khususnya dalam menghadapi penyakit dalaman atau luaran.

Shahrul Mizan menjelaskan, beliau mula menceburi dalam bidang pengeluaran beberapa pembuatan produk jamu dan penjagaan kesihatan menggunakan bahan semulajadi secara home made di rumahnya sejak Jun tahun ini.

Formulasi produk turun temurun itu diperoleh daripada neneknya yang juga seorang bidan kampung.

Terdapat enam produk keluaran syarikat yang cukup unik kerana menggunakan gabungan bahan mentah seperti minyak, rempah-ratus malah embun semulajadi serta bunga bagi membantu menyelesaikan masalah pelanggan daripada pelbagai pe­ringkat umur, bangsa dan agama.

Menurut anak kelahiran Batu Pahat yang sebelum ini bekerja di beberapa buah syarikat korporat dari tahun 2004 hingga 2014, dia begitu teliti dalam pengeluaran produk keluarannya kerana ia melibatkan kajian dan pemba­ngunan yang agak lama sejak tahun 2016.

“Niat saya bukan semata-mata hendak menjual produk untuk mendapatkan keuntungan tetapi ia adalah untuk membantu masyarakat sebarkan manfaat dan sekali gus menyelesaikan masalah kesihatan yang mereka alami,” katanya dalam temubual secara maya baru-baru ini.

Shahrul Mizan, 45, memiliki kemahiran semulajadi yang dianugerahkan oleh Tuhan dalam bidang perkhidmatan rawatan alternatif holistik sejak kecil lagi tetapi beliau mula ‘merawat’ pada usia 17 tahun hanya dalam kalangan adik-beradik dan ahli keluarganya.

Kemahiran tersebut tidak dihebahkan kepada umum sehinggalah beliau mengundur diri da­ripada dunia korporat dan mula menawarkan khidmat perubatan alternatif itu secara serius pada tahun 2016.

Perkhidmatan popular yang menjadi perhatian pelanggan sehingga dalam kalangan orang kenamaan adalah mandi bunga yang mana ia menggunakan formulasi tradisional yang membantu menyelesaikan masalah dalaman dan luaran individu seperti menaikkan seri dan juga membantu memberi aura positif kepada pelanggan.

Nama gelarannya sebagai Mizan As-Syatirie menjadi tular kerana keunikan rawatan secara mandi bunga itu telah mencatat kunjungan daripada 5,000 pe­langgan ke premisnya.

Bagaimanapun, pengoperasian tersebut terpaksa dihentikan tatkala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Kini Shahrul Mizan kembali aktif dalam pengkomersialan produk home made itu yang terdiri daripada LKD iaitu skrab wajah dan badan untuk kecantikan dan rawatan kulit; Embun yang merupakan face mist yang dihasilkan daripada gabungan embun semula jadi serta dibangunkan melalui teknologi TeraHertz, tenaga kuantum serta kristal dan produk Tresno masing-masing adalah minuman kesihatan untuk lelaki dan wanita yang dibuat daripada gabungan 33 herba dan rempah-ratus.

Produk lain terdiri daripada Olio Oil iaitu gabungan 12 jenis minyak dari nusantara dan 10 herba sebagai minyak urut yang diadun khusus dengan ramuan Sangkal Putung.

7ujuh Seri pula adalah produk ramuan untuk mandi bu­nga.

“Produk berkenaan dijual pada harga antara RM39 hingga 150 dan ia diedarkan oleh 67 konsultan di seluruh negara,” jelas­nya.

Tambah beliau, daripada de­re­tan lima produknya, LKD mencatat jualan terbesar melibatkan 12,000 botol dalam tempoh tiga bulan.

Beliau yang memulakan perniagaan sulungnya dengan mo­dal RM10,000 memberitahu, syarikat mengunjurkan untuk menambah jumlah konsultan sehingga 99 orang bagi memastikan manfaat produk dapat dikongsi bersama dengan pelanggan dan masyarakat.

Berbeza dengan pandangan usahawan lain yang suka mele­barkan rangkaian perniagaannya kepada lebih banyak ejen dan pengedar sekali gus me­ningkatkan pendapatan syarikat seterusnya kepada kumpulan pengedaran, Shahrul Mizan ha­nya mahu menjaga keeksklusifan rangkaian produknya.

“Cukup sekadar 99 konsultan bersempena dengan 99 nama Allah,” tegasnya.
Lebih menarik, Shahrul Mizan menerangkan, produk syarikat De Ningrats juga telah berjaya menembusi pasaran luar negara iaitu ke Singapura, Brunei dan Australia.

Mengulas mengenai impak wabak maut Covid-19 kepada operasi syarikat, beliau me­nerangkan, selain jualan secara online membantu melancarkan lagi urusan penempahan dan penjualan produk, beliau turut berdepan dengan beberapa kekangan lain.

“Kami pernah ditipu pembekal, ada juga pembekal tersilap menghantar barangan dan menghadapi masalah lewat menghantar tempahan,” ujarnya.

Ditanya mengenai peranca­ngan masa depan, beliau bercadang untuk menambah dua lagi produk baharu yang mana ia kini sedang menjalani kajian dan pembangunan.

“Saya optimis terhadap industri rawatan alternatif holistik pada masa depan apabila rakyat semakin terarah kepada kehidupan cara moden. Ia kerana makin ramai yang berdepan dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI