BARU-BARU ini, seorang ahli perniagaan di Bachok ingin berkongsi rezeki dengan menyediakan bakul makanan kepada golongan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut ahli perniagaan yang mengendalikan syarikat kontraktor dan kosmetik itu, pejabatnya dijadikan pusat penyimpanan barangan seperti gula, minyak, biskut, beras, sardin dan banyak lagi kelengkapan dapur.
Semua kelengkapan makanan yang disediakan merupakan barangan keluaran tempatan, namun apabila dilihat kepada satu bahan penting dalam sumbangan tersebut, ahli perniagaan itu menggunakan satu-satunya produk dari negara jiran iaitu beras Siam.
“Saya menggunakan beras Siam untuk disedekahkan kepada penerima. Beras-beras seberat lima kilogram ini dibeli dalam kuantiti yang banyak dan pastinya akan habis diberikan kepada penerima.
“Saya tahu selera orang Kelantan. Sebab itu saya sanggup membeli beras-beras ini untuk dijadikan barangan utama sumbangan kepada mereka. Mahal sedikit pun tidak apa janji mereka guna beras sumbangan yang diberikan,” kata ahli perniagaan yang berusia 47 tahun itu.
Melihat kepada senario itu, saya yang baru bermastautin lebih setahun lalu di Kelantan dapat melihat bahawa penggunaan beras Siam di sini seperti tidak dapat dipisahkan.
Gerai makan, rumah dan restoran di Kelantan pasti akan menanak beras Siam untuk dijadikan hidangan utama nasi berlauk yang dijual kepada pelanggan.
Ada yang mempertikaikan mengenai status jualan beras Siam itu kerana sebenarnya diseludup dari negara jiran sebelum dijual secara berleluasa di negeri ini tanpa sebarang cukai.
Berdasarkan data Pasukan Gerakan Am, lambakan beras Siam di Kelantan itu dapat dilihat melalui rampasan sebanyak 16 tan dalam tempoh lima bulan.
Jumlah rampasan itu sebenarnya sedikit berbanding beras Siam yang sudah terlepas dan dijual.
Seorang peniaga nasi berlauk di Kota Bharu berkongsi cerita bahawa dia menanak sebanyak 100 kilogram beras Siam setiap hari dan jumlah penggunaan bahan mentah tersebut mampu mencapai sehingga tiga tan sebulan.
Menyentuh mengenai status penggunaan beras Siam yang diseludup dalam kalangan masyarakat di negeri ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpendapat bahawa hukum makan dan membeli beras Siam adalah harus.
Menurutnya, pandangan itu dapat dilihat apabila pembeli membeli beras Siam yang dijual di pasaran daripada penjual melalui transaksi sah malah barangan yang dibeli juga bukan terdiri daripada barangan syubhah atau samar.
Ujarnya, sebagai pembeli atau pengguna, mereka hanya perlu bersangka baik dengan barangan yang telah dijual di pasaran melainkan beras Siam itu sudah dipastikan bahawa dicuri sebelum dijual.
“Isu mengenai beras Siam ini terbahagi kepada dua iaitu hukum dan pentadbiran undang-undang negara. Dari aspek jual beli antara penjual dan pelanggan, ia adalah halal kerana transaksinya jelas apabila ada akad.
“Saya berpendapat bahawa perbuatan menyeludup itu tetap salah daripada aspek undang-undang, namun dalam agama banyak perkara yang diberikan tasamuh atau toleransi lebih-lebih lagi barangan yang dijual itu adalah bahan makanan yang sememangnya halal,” katanya.
Tambahnya, penggunaan beras apa pun tidak menjadi masalah asalkan halal dan memberi kebaikan kepada tubuh badan kerana makanan yang baik merupakan salah satu usaha kita mempersiapkan diri untuk beribadah.