fbpx

ATM sediakan latihan, kemahiran kepada isteri anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi semasa sesi wawancara khas bersama media sempena Sambutan Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira hari ini.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediakan latihan serta kemahiran kepada isteri anggota yang tidak bekerja sebagai persediaan selepas mereka bersara kelak.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, antara latihan yang akan diberikan adalah termasuk kemahiran perniagaan secara dalam talian yang kini dilihat berpotensi tinggi selain tidak memerlukan modal yang besar.

Menurut beliau, dengan adanya latihan seperti itu, sekurang-kurangnya anggota mempunyai pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga selepas tamat perkhidmatan kelak.

Tambah Affendi, kebanyakan anggota akan bersara pada usia sekitar awal 40-an dan ketika ini komitmen serta perbelanjaan masih tinggi kerana anak-anak mereka masih bersekolah.

“Jadi, kita perlu cari satu alternatif kepada isteri anggota ATM yang tidak bekerja dengan memberikan mereka latihan dan kemahiran dalam bidang perniagaan dalam talian supaya dapat meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing.

“Modalnya pun tidak besar, dengan kemahiran seperti ini, ia boleh membantu apabila suami mereka bersara. Ini salah satu cara terbaik agar kebajikan anggota terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Wawancara Khas Media Sempena Hari ATM Ke- 88 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Hospital Medan ATM, Affendi berkata, setakat ini pihaknya telah membuka enam hospital seumpamanya itu di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, penggunaan hospital medan terutamanya di Lembah Klang kini semakin minima seperti di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan Hospital Selayang.

“Walaupun begitu, kita sentiasa bersiap siaga untuk mengatur gerak aset dan pasukan paramedik sekiranya diperlukan untuk membantu Kementerian Kesihatan,” ujar Affendi.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI