WAJAHNYA yang redup dengan senyuman yang tidak lekang di bibir membuatkan penulis tertarik untuk mendekati pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Universiti Kuala Lumpur ini dengan lebih dekat.
Kesempatan K2! bertemu dan berbicara dengan pemilik nama Nik Fatin ‘Afifah Nik Muhaiminzee, 21, ini membolehkan kami mencungkil semangat keusahawanan yang ada pada dirinya untuk dikongsi bersama pembaca, terutamanya dalam kalangan siswa.
Ternyata setiap bait-bait kata yang dikongsikan anak bongsu daripada empat adik-beradik ini membuatkan penulis kagum. Bukan sahaja cantik dan bijak,gadis ini juga aktif berniaga mencari wang poket sendiri sejak di bangku sekolah lagi.
Begitupun, di sebalik kesibukan hariannya berniaga, dia masih tidak mengabaikan pelajaran dan berjaya melanjutkan pengajian ke menara
gading.
Kongsinya, selain dorongan dan sokongan daripada keluarga, minatnya dalam dunia perniagaan ini jugalah yang membawa dirinya melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di universiti.
“Sejak di bangku sekolah lagi saya memang suka berniaga. Tetapi pada ketika itu, ia lebih kepada menjadi ejen produk yang diniagakan oleh usahawan lain.
“Biasanya produk yang dijual adalah berasaskan suplemen kesihatan dan juga penjagaan kulit.
“Biarpun pada waktu itu sekadar menjadi ejen, namun keuntungan yang diperoleh agak memuaskan. Paling banyak pernah dapat RM1,000 dalam masa dua minggu sahaja,” katanya.
Bercerita lanjut, menurut Nik Fatin ‘Afifah lagi, menjadi ejen produk mungkin nampak mudah. Tetapi katanya, ia agak mencabar memandangkan tidak semua individu mempunyai tekstur kulit yang serupa dan boleh menggunakan satu-satu produk yang dijual.
Mendengar pelbagai maklum balas diberikan oleh pelanggan, gadis ini kemudian mengambil keputusan untuk berhenti menjual produk berasaskan penjagaan kulit, seterusnya menjalankan perniagaan yang lebih santai berasaskan makanan, selain casing telefon bimbit.
Menjadikan pemilik perniagaan ainaabeauty sebagai idola, menurut gadis ini lagi, dia menggemari pasangan suami isteri yang juga merupakan tersohor media sosial, Hafiz Mahamad dan Ainna itu kerana pada usia sangat muda, mereka berdua berjaya mengusahakan perniagaan sehingga dikenali ramai.
Bukan itu sahaja, mereka juga begitu menjaga hubungan dengan keluarga, pekerja, rakan dan pelanggan yang seterusnya membuatkan gadis ini kagum serta terinspirasi.
Kongsinya lanjut, biarpun dia begitu meminati bidang perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat bagi mengikut jejak langkah arwah ibunya, gadis ini bagaimanapun berhasrat untuk terus berniaga biarpun sudah mempunyai kerjaya tetap sebaik tamat pengajian nanti.
Tatkala ditanya mengenai mahasiswa pada hari ini yang giat menjalankan perniagaan, akui Nik Fatin ‘Afifah, dia berasa kagum kerana menyedari bukan mudah untuk membahagikan masa.
Di sendiri jelasnya, pernah melaluinya sewaktu berniaga ketika di bangku sekolah.
“Kadang-kadang mereka berniaga kerana minat. Tetapi dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi hari ini, ramai golongan siswa berniaga kerana niat mahu membantu keluarga.
“Apa-apapun, dalam keadaan pandemik semasa, saya mendoakan urusan perniagaan mereka dipermudahkan oleh Allah,” katanya.