fbpx

Adam Corrie Islamkan 20 orang saudara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM CORRIE berkongsi pengalamannya mengislamkan dua pasangan menjadi saudara baharu semalam.

PETALING JAYA – “Kebanyakan saudara baharu yang saya Islamkan dapat hidayah lepas dengar azan.”

Demikian kata pelakon Adam Corrie kepada Kosmo! Online yang video dimuat naik dalam Instagram menyaksikan dirinya mengislamkan dua pasangan menjadi perbualan netizen.

Adam atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee Abdullah memaklumkan, setakat ini, dia sudah mengislamkan seramai 20 orang saudara baharu.

“Saya baru sahaja mengislamkan seorang saudara baharu hari ini di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Menariknya cerita saudara baharu ini, dia seorang perempuan dan mengalami kemalangan pada 2007.

“Dia cerita kepada saya sebelum membulatkan tekad memeluk Islam, dia selalu bermimpi bertemu malaikat. Semua ini kehendak dan aturan Allah.

“Semuanya bermula dengan hanya satu direct messege (DM) menerusi media sosial dua minggu lalu. Alhamdulillah, seorang lagi saudara baharu kita dan sudah 20 orang telah mengucap syahadah. Sama-samalah kita bimbing mereka semua,” katanya.

Bercerita lanjut tentang dua pasangan yang mengucap syahadah Jumaat lalu, Adam berkata, kedua-dua mereka mempunyai cerita yang berbeza.

Ceritanya, pasangan pertama berketurunan Cina sementalah yang kedua pula India. Kedua-dua pasangan tersebut ingin mendirikan rumah tangga dan ingin terus mendalami agama Islam.

“Yang Cina perempuan, bakal suami seorang muallaf. Saya nasihatkan mereka, nak kahwin tiada masalah cuma kalau dah peluk Islam, jaga rukum Islam, belajar solat, mengaji dan sebagainya.

“Yang pasangan India, lepas mengucap dua khalimah syahadah, dia mereka menangis dan maklumkan masuk Islam sebab dapat ispirasi daripada kisah saya. Tapi, saya cakap hidayah milik Allah dan semuanya Dia yang susun,” ujarnya.

Kata Adam, kebanyakan 20 orang yang telah terbuka hati untuk memeluk Islam mendapat petunjuk dan hidayah sebab selalu dengar Azan.

“Mereka kata rasa tenang sebab selalu dengar azan. Itu pengakuan kebanyakan orang yang telah menjadi saudara baharu depan mata saya. Perancangan Allah cukup indah, masya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Adam yang pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor 2017 memeluk Islam pada 13 Julai 2007. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI