KOTA BHARU – Empat buah premis mengalami kerosakan teruk selepas dihempap separuh bahagian pokok sena setinggi 15 meter yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Lembah Sireh di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar bahagian dua buah bengkel kenderaan, sebuah kedai makan dan sebuah premis membaiki pendingin hawa kenderaan rosak.
Seorang pembantu kedai makan, Marlina Zahari, 44, berkata, dia hanya mampu melaungkan takbir selepas terdengar bunyi rekahan pokok diikuti dentuman kuat sewaktu hujan renyai-renyai yang disusuli dengan ribut.
Menurutnya, sebahagian besar pokok termasuk dahannya didapati telah menimpa bahagian hadapan kedai sekali gus memusnahkan bumbung dan dua meja rak yang digunakan untuk menyimpan makanan di gerai tempat dia bekerja.
“Saya tergamam melihat kejadian itu dan tidak sempat berbuat apa-apa. Mujur pokok yang tumbang itu tidak menimpa kami yang berada di dalam gerai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, pemilik sebuah kedai menjual rojak, Nazma Che Wil, 61, berkata, dia yang sudah menyewa premis itu sejak 17 tahun lalu bersyukur apabila tiada pelanggan yang datang di gerainya sewaktu kejadian. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929