fbpx

Vokalis Samudera, Aimi meninggal dunia akibat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIMI menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh malam tadi.

PETALING JAYA – Vokalis kumpulan Samudera yang terkenal dengan lagu Salam Sejahtera iaitu Norazmi Mohd. Abdullah,48, atau lebih dikenali sebagai Aimi meninggal dunia akibat wabak maut, Covid-19 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan sahabat baik Allahyarham yang juga ketua kumpulan tersebut, Mohd. Azhar Ropie.

“Allahyarham meninggal dunia pukul 10.12 malam tadi (Sabtu) di Hospital Sungai Buloh. Saya memang tak sangka kerana sewaktu jumpa, dia sihat sahaja beberapa minggu lepas.

“Kemudian, dia dimasukkan ke hospital tapi sebelum itu dia kuarantin di Maeps, Serdang Rabu lalu. Dalam beberapa hari, dia dipindahkan ke Sungai Buloh sebab alami gejala sesak nafas.

“Saya dimaklumkan isterinya, selain mengalami komplikasi jangkitan salur darah. Sewaktu di hospital, keadaannya sudah kritikal dan ditiarapkan 16 jam namun tidak banyak perubahan, selang sehari doktor tiarapkan lagi 20 jam,” kata Mohd. Azhar ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ujar Mohd. Azhar lagi, sebelum meninggal dunia, Allahyarham Aimi sempat meluahkan hasrat untuk kumpulan Samudera membuat kemunculan semula dalam industri seni tanah air.

“Dia ada nyanyi lagi baharu kami tapi tak sempat rakam. Judulnya Mutiara Cinta. Ajal Aimi dah sampai, mungkin selepas ini kita semua pula,” kata Mohd. Azhar.

Dua anggota Samudera iaitu vokalis asal, Ujang dan pemain bass, Jimmy telah dijemput Ilahi pada 2017. Allahyarham Aimi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Ujang sejak 2017.

Selain Salam Sejahtera, Samudera turut popular dengan lagu jiwang seperti Sungguh Tak Ku Sangka, Airmata Dewiku dan Mekar Dijiwa sekitar era 1990-an. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI