PENGUMUMAN kerajaan yang bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri kreatif di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 9 September lalu bagaikan nafas baharu buat ribuan penggiat seni.
Lebih manis, Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya turut telah beralih ke Fasa 2 PPN sehari selepas kebenaran penggambaran dibenarkan.
Kelonggaran yang diberikan bagaimanapun hanya terpakai buat penggiat dan pekerja seni yang sudah lengkap dua dos vaksin.
Namun, tiba sahaja tanggal 9 September seperti yang ditunggu-tunggu semua penggiat seni, timbul pula cerita tentang keangkuhan dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir karyawan atau pemilik rumah produksi yang membenarkan pelakon meneruskan penggambaran walaupun bukan penerima dua dos vaksin sekali gus melanggar SOP.
Isu tersebut menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen hingga memaksa barisan pelakon senior tampil ‘membasuh’ golongan terbabit.
Bukan sahaja memalukan nama anak seni selaku figura umum yang selama ini disegani dan dihormati, tidak semena-mena mereka terpalit lumpur dek seorang-dua yang membikin onar.
Menjadi yang pertama lantang bersuara, gus menyelar keangkuhan dan sikap tidak bertanggungjawab tersebut, seniwati Fauziah Nawi ada hujah dan pandangan tersendiri.
Menurut Fauziah, sikap yang ditunjukkan individu berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan mereka boleh dikategorikan sebagai angkuh serta hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan nasib orang lain.
“Saya memang sedih dan terkilan dengan tindakan mereka. Langsung tidak fikir dan kasihan akan orang lain. Betul-betul tidak boleh diterima akal.
“Apa yang membuatkan saya bertambah marah dan beremosi, sikap mereka jugalah yang akan menyebabkan kerajaan menarik balik kelonggaran penggambaran buat anak seni yang baru sahaja dibenarkan.
“Sebelum kelonggaran diberikan pun, ada saja puak-puak sebegini yang curi-curi berlakon dan ambil kesempatan yang akhirnya menyusahkan semua orang.
“Saya benar-benar tak faham apa yang mereka fikir. Kerajaan sudah bagi kelonggaran dan beri lampu hijau kepada kita untuk ‘bernyawa’, jadi patuhlah dan ikutlah SOP, bukannya susah dan itu sahaja cara yang kita ada,” katanya.
Tambah bintang senior yang juga aktivis teater itu, dia tidak peduli seandainya tindakan kurang bijak penerbit dan pelakon terbabit tidak melibatkan periuk nasi anak seni lain sepertinya.
Pendedahan seniwati berusia 68 tahun itu secara tidak langsung membuka ‘pekung’ yang selama ini disorokkan turut mencetuskan sokongan karyawan seni lain.
Senada dengan Fauziah ialah pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang yang turut menyifatkan perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu hanya satu perkara bodoh, sombong dan pentingkan diri.
“Wahai manusia luar sana dengarlah nasihat Fauziah Nawi. Kerajaan baru bagi kelonggaran untuk anak seni mencari rezeki, tetapi dah ada pelakon dan penerbit yang buat hal.
“Tolonglah jangan sebab keangkuhan engkau, satu industri kena tutup balik. Ingat, kerajaan bagi shoot (penggambaran) untuk yang dah vaksinasi penuh sahaja okey,” tulisnya dalam Instagram.
Tidak berhenti disitu, pelakon versatil, Beto Kusyairy turut menyatakan pendiriannya apabila enggan bekerja dengan mana-mana produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak divaksin.
“Secara peribadi, saya tidak akan terlibat dengan produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak mahu mengambil vaksin.
“Sebab saya fikirkan keluarga saya yang ada budak kecil dan orang tua di rumah. Bagi saya lebih baik mencegah daripada mengubati. Itu yang saya cuba lakukan selagi mampu,” ujar Beto yang ditemu bual secara virtual baru-baru ini.
Bintang Bisik Pada Langit itu turut menyelar tindakan pelakon dan kru yang tidak lengkap vaksinasi tetapi bekerja di set penggambaran seperti biasa sebagai mementingkan diri.
Aktres Nadiya Nissa pula menegaskan, individu enggan divaksin, tetapi mahu bekerja sebenarnya membahayakan bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh tenaga produksi.
“Andai virus tersebar, orang yang tidak divaksin itu lebih berisiko untuk mendapat komplikasi kritikal.
“Penggambaran akan tertangguh dan pihak penerbit terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk kuarantin. Bukan itu sahaja, jadual pelakon dan tenaga produksi juga akan terganggu dan perlu dirombak semuanya,” ujarnya.