BEREGU campuran mudah negara, Yap Roy King-Valeree Siow terus menampilkan aksi memberangsangkan dalam saingan di Eropah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Ukraine malam kelmarin.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Lokomotiv Sports Palace, Kharkiv itu, Roy King-Valeree memastikan gelaran menjadi milik Malaysia selepas menewaskan wakil Jerman, Malik Bourakkadi-Annabella Jaeger 21-17, 21-14.
Lebih manis, kejuaraan itu merupakan gelaran ketiga berturut-turut yang diraih gandingan muda tersebut selepas memenangi Kejohanan Antarabangsa Latvia dan Hellas sebelum ini.
Roy King mengakui kemenangan itu sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat buat mereka bagi menghadapi kejohanan yang akan datang biarpun masih belum berpuas hati dengan aksi keseluruhan.
“Sangat gembira untuk memenangi kejuaraan berturut-turut seperti ini, lebih-lebih lagi dengan prestasi yang ditampilkan dalam setiap kejohanan. Kemenangan yang diraih pastinya memberi suntikan semangat kepada kami.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu cepat berpuas hati dengan aksi ditampilkan kerana masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki apabila pulang ke Malaysia nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, pemain berusia 20 tahun itu menjelaskan, aksi di Ukraine adalah yang terbaik pernah ditampilkan sepanjang saingan di Eropah kerana menganggap gandingannya bersama Valeree sudah semakin serasi.
“Saya rasa prestasi kali ini paling baik pernah kami tampilkan berbanding dua kejohanan terdahulu kerana sudah faham dengan gaya permainan masing-masing. Saya harap kami boleh perbaiki kedudukan ranking selepas ini,” ujarnya.