MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo memberi impak positif pada aksi debut pertamanya selepas kembali ke Old Trafford apabila membantu pasukan menewaskan Newcastle United 4-1 sebentar tadi.
Pada aksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer membariskan kesebelasan terbaik dengan meletakkan Ronaldo sebagai penyerang utama.
Kesempatan itu tidak disia-siakan oleh pemain antarabangsa Portugal itu dengan meledak gol pembukaan pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan pasukan The Red Devils di depan.
Bersambung pada babak kedua, semangat pasukan tuan rumah direntap apabila Newcastle berjaya menyamakan kedudukan menerusi ledakan Javier Manquillo yang menyempurnakan hantaran Allan Saint-Maximin pada minit ke-56.
Namun, kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Ronaldo sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan Newcastle untuk meledak gol kedua menerusi kaki kirinya berselang enam minit kemudian.
United terus berpesta gol apabila kini giliran pemain tengah, Bruno Fernandes meledak jaringan cantik di luar kotak penalti untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan.
Stadium Old Trafford terus bergema pada masa tambahan apabila gol keempat berjaya dihasilkan menerusi ledakan pemain gantian, Jesse Lingard yang berjaya menyudahkan hantaran Paul Pogba.
Sebagai rekod, Ronaldo telah membuat keputusan mengejut untuk kembali ke kancah EPL dengan menyertai United buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas bersetuju untuk berhijrah dari kelab gergasi Serie A, Juventus pada bulan lalu.
United kini meraih 10 mata manaka Newcastle kekal dengan satu mata selepas mengharungi empat perlawanan musim ini. – K! ONLINE