KUANTAN – Seorang penjual ikan mengalami kerugian RM6,368 selepas diperdaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud menggunakan nama koperasi yang diiklankan dalam laman media sosial Facebook.
Mangsa berusia 33 tahun dari Raub ditipu untuk membuat lima kali bayaran bagi mendapatkan wang pinjaman berjumlah RM25,000 namun tidak menerima wang pinjaman terbabit sehingga kini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada Jumaat lalu ketika mangsa melayari media sosial berkenaan.
“Mangsa melihat satu iklan pinjaman wang atas nama Koperasi Swasta Malaysia dan telah menekan pautan yang disediakan serta mengisi butiran diri.
“Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Andy yang mendakwa wakil koperasi terbabit dan telah menerangkan proses berkaitan pinjaman terbabit,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya selepas itu, mangsa berurusan pula melalui WhatsApp dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Ivon yang turut membincangkan mengenai urusan pinjaman berkenaan.
Katanya, setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM25,000 dan telah membuat lima kali pemindahan wang berjumlah RM6,368 melalui internet ke akaun yang diberikan suspek.
“Selepas bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran daripada mangsa sebagai bayaran proses pinjaman menyebabkan mangsa berasa curiga dan membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu,”ujarnya – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929