PETALING JAYA – Seorang peniaga mendakwa kerugian RM35,000 apabila beg tangan mewah jenama Chanel yang hendak dikirimkan kepada pelanggannya dicuri.
Menurut peniaga tersebut, dia telah menghantar parcel berisi beg berserta kotaknya kepada pelanggan di sebuah negeri.
Dia mendakwa, terdapat kesan cap jari pada kotak bungkusan beg tangan tersebut seolah-olah ia telah dipegang oleh beberapa individu sebelum ia sampai kepada pelanggannya.
“Saya curiga apabila parcel itu terhenti selama enam hari di sebuah pusat kurier di sebuah negeri ketika saya membuat pemeriksaan pada aplikasi yang digunakan.
“Selepas menghubungi syarikat kurier itu, parcel tersebut telah dihantar tetapi mereka memaklumkan isi di dalamnya sudah tiada. Yang ada hanya kotak,” katanya menerusi laman Instagram.
Tambahnya, tujuan dia berkongsi masalah itu adalah supaya sesiapa yang menjumpai beg tangan jenis Classic Medium Double Flap Burgundy Caviar beserta nombor cip mikro LA2E3204 untuk menghubunginya.
Perkongsian yang dibuat di Instagram telah menarik perhatian pengguna media sosial dengan rata-rata mereka menasihatinya agar bersabar menghadapi dugaan tersebut.
“Biar betul, sentiasa kuat awak. Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata HairiLephyy.
“Boleh buat laporan polis dan tengok lokasi terakhir barang itu dekat mana,” ujar Nzjhnazman.
IzzuddinBusro pula berkata: “Selalunya kalau nak hantar barang mahal macam ini elok guna kurier yang lebih mahal sedikit, janji barang selamat sampai.” – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929