ALOR SETAR – Orang ramai yang bakal bercuti di Langkawi menjelang pembukaan destinasi pelancongan popular itu pada Khamis ini diingatkan supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerusi pasukan pemantau akan memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung menerusi rondaan di semua lokasi pelancongan.
“Sudah semestinya apabila pulau itu kembali dibuka untuk pelancongan, jumlah anggota polis dalam pasukan pemantauan juga akan ditambah.
“Kalangan pegawai dan anggota ini akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan para pengunjung mematuhi SOP ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah di sini hari ini.
Kata beliau, walaupun orang ramai berkunjung ke pulau peranginan itu mengikut gelembung pelancongan, namun mereka tetap perlu mematuhi SOP.
“Bagi pelancong yang datang melalui jalan darat, mereka perlu mendapatkan kebenaran untuk merentas negeri dan melepasi sekatan jalan raya,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929