LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap berwaspada dengan ancaman Leeds United menjelang aksi keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan berlangsung di Stadium Elland Road malam ini.
Walaupun sedar pasukan tuan rumah masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini, namun Klopp menyedari kemampuan yang dimiliki skuad kendalian Marcelo Bielsa itu.
Klopp menegaskan, The Reds mungkin akan menerima kejutan pada perlawanan itu kerana beliau cukup mengenali kebijaksanaan strategi permainan Bielsa yang dianggap antara pakar taktikal terbaik di dunia.
“Secara keseluruhan, falsafah bola sepak yang diterapkan Marcelo Bielsa sangat berbeza dengan pasukan-pasukan lain dan cara mereka bertahan juga boleh dikatakan agak unik.
“Mereka juga bermain dengan intensiti tinggi dan sentiasa bekerja keras untuk memastikan pasukan lawan tidak memegang bola terlalu lama. Saya boleh katakan mereka ada peluang untuk lakar kejutan,” kata jurulatih dari Jerman itu.
Pada masa sama, beliau juga mengakui, Liverpool memiliki masa terlalu suntuk untuk melakukan persiapan memandangkan beberapa pemain mereka baru sahaja pulang daripada tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.
“Kami juga berdepan sedikit masalah dari segi persiapan memandangkan ada pemain yang tidak memiliki masa mencukupi untuk berlatih. Sudah tentu ia akan buatkan kami berada dalam keadaan sukar,” ujar Klopp. – AGENSI