fbpx

Kerajaan negeri bincang laporan ancaman gempa bumi di Janda Baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas Jabatan Meteorologi Malaysia melakukan pemantauan mengenai kejadian gempa bumi di seluruh dunia di ibu pejabat Meteorologi Malaysia di Selangor. GAMBAR HIASAN

KUANTAN – Kerajaan negeri memandang serius laporan mengenai ancaman gempa bumi di Janda Baik yang bukan sahaja memberikan risiko keselamatan tetapi boleh memberi kesan kepada industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat exco kerajaan negeri untuk diberi perhatian dan tindakan segera.

“Saya akan bawa perkara ini ke dalam mesyuarat exco akan datang dan kalau perlu kita akan memanggil mereka yang berkaitan untuk memberikan penjelasan dan melakukan kajian mengenai perkara ini.

“Selepas itu barulah kita akan melakukan tindakan susulan berdasarkan kepada laporan yang kita terima dan akan memaklumkan kepada masyarakat,” katanya kepda Kosmo! di sini, hari ini.

Semalam Kosmo! melaporkan keindahan kawasan tanah tinggi di Janda Baik dan Bukit Tinggi di sini terdedah kepada ancaman tanah runtuh yang berpunca daripada gempa bumi susulan pengaktifan semula garis sesar Bukit Tinggi sejak 2007.

Pengaktifan semula garis sesar selepas ribuan tahun ia ‘mati’ menyaksikan 30 kejadian gempa bumi berlaku di kawasan itu bermula pada tahun 2007 dengan gegaran terkuat direkodkan adalah 4.2 pada skala Richter.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar berkata, gempa bumi di Janda Baik dan Bukit Tinggi boleh berulang memandangkan kawasan itu terletak dalam garis sesar Bukit Tinggi yang mengunjur dari Kuala Pilah-Kuala Lumpur dan Bukit Tinggi.

Menurut Mohd. Sharkar, pada peringkat permulaan kerajaan negeri akan meminta pihak Jabatan Mineral dan Geosains yang difahamkan pernah melakukan kajian di kawasan berkenaan memberikan laporan dan taklimat mengenai isu ini.

Selain itu katanya, pakar-pakar berkaitan juga akan diminta memberikan penerangan dan kajian bagi melengkapkan laporan bagi membuat tindakan susulan yang terbaik dalam isu ini.

Sementara itu beliau berharap masyarakat tidak panik dengan perkara itu yang dilihat merupakan satu perkara baharu bagi Malaysia yang bukannya terletak dalam lingkaran api pasifik.

Katanya, perkara ini perlu dilihat dengan lebih terperinci lagi termasuklah kemungkikan berkaitan dengan pelbagai kejadian bencana alam akhir-akhir ini termasuklah isu pemanasan global. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI