fbpx

Ini tahun musibah saya – Andi Bernadee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDI BERNADEE

KELAM. Itu ungkapan paling cocok sebagai gambaran situasi yang menyelubungi penyanyi Andi Bernadee ketika ini. Sejak jendela 2021 menguak tirainya lebih lapan purnama lalu, tempoh ini dikatakan satu musibah Andi. Ada sahaja dugaan dan ujian terpaksa didepani anak muda kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

Bermula dengan menjadi mangsa sihir ekoran hasad dengki difahamkan angkara orang yang dikenali, dia teruji juga dengan masalah kesihatan sehinggalah kemuncaknya, harus berputih mata gara-gara duit hasil penat lelah disonglap juga oleh kenalan terdekat.

Satu persatu terpaksa ditelannya biarpun pahit. Andi juga tidak mahu mahu mengalah dengan apa yang berlaku namun di dasar hati yang paling dalam, dia tetap reda. Setiap bingkisan ujian yang diterima pasti ada hikmahnya.

Pada kesempatan dikongsikan bersama Pose baru-baru ini, Andi bagaimanapun mengakui dia tidak pernah serik apatah lagi menyesal dengan apa yang berlaku.

“Saya anggap ini semua sebagai takdir dan rezeki buat saya. Mungkin Allah pilih saya sebab Dia nak tunjukkan rasa sayang dan cinta-Nya.

“Saya tahu semua yang terjadi pasti ada hikmah dan rahmat yang menanti. Mungkin dari segi rezeki, kebahagiaan, kesihatan dan sebagainya nanti,” ujar Andi tatkala memulakan bicara.

ANDI mengakui tidak ralat apatah lagi menyesal dengan apa yang berlaku, namun sedikit sebanyak memberinya pengajaran selain mendewasakan diri agar tidak terlalu mempercayai orang lain.

Tinggal impak, emosi

Jelas pelantun lagu Kais Pagi Kais Petang itu, perkara yang berlaku dan menimpa dirinya secara tidak langsung meninggalkan impak dari segi emosi dan mental.

“Pertama kali perkara seteruk ini terjadi kepada saya. Benda ini betul-betul beri impak dari segi emosi dan mental. Saya rasakan tahun ini bagai tahun penuh musibah buat saya.

“Perkara yang berlaku dalam hidup saya bagaikan bermusim. Awal tahun, ramai tahu saya jatuh sakit akibat disihir hingga menyebabkan saya menyepikan diri selama berbulan-bulan.

“Tak cukup dengan itu, saya diuji pula dengan masalah kesihatan selepas disahkan menghidap batu karang dan memerlukan pembedahan. Hari ini pula, duit hasil titik peluh saya bekerja dikebas kawan baik sendiri,” ujarnya.

Bagi Andi, meskipun dugaan tersebut benar-benar menguji tahap keimanan dan kesabarannya sebagai manusia, dia tetap perlu menerima dengan hati terbuka.

Meneruskan perbualan, dia benar-benar tidak pernah menyangka kawan baik yang sudah bertahun dikenali dan dianggap seperti adik-beradik sendiri sanggup mengkhianati dirinya.

“Dari awal tahun bekerja, satu sen pun saya tak merasa duit hasil titik peluh saya itu. Tahu-tahu duit tersebut sudah dimakan dan dikebas orang.

“Saya benar-benar tidak sangka, rakan baik yang saya bawa masuk ke dalam industri seni dan pernah mengerjakan umrah bersama-sama tergamak buat saya begini,” luahnya kesal.

Akui pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile, 30, ketika ini kepala berserabut dan hanya banyak berdiam diri tanpa memuat naik sebarang hantaran dalam media sosial seperti sebelumnya.

ANDI mengakui ada kalanya dia kuat dan lemah dengan ujian tanpa henti yang melanda dirinya sepanjang bergelar anak seni.

Kepercayaan

Tambah pelakon Perisik Cinta Tak Diundang itu, apa yang berlaku juga meninggalkan kesan mendalam terutama perihal meletakkan kepercayaan kepada seseorang.

Pengajaran terbesar yang diperoleh adalah jangan sesekali mudah memberikan kepercayaan setinggi langit mahupun sepenuhnya waima kepada orang yang sudah lama dikenali.

“Bila jadi perkara macam ni, terus timbul dan wujud isu kepercayaan dalam diri saya. Dulu saya akui tiada perkara itu.

“Bila perkara sudah terjadi, barulah saya sedar, saya tak boleh suka-suka atau terlalu memberikan kepercayaan kepada sesiapa pun termasuk kawan baik sendiri,” ujarnya.

Ditebak mengenai persepsi dan respons keluarganya tatkala perkara tersebut berlanjutan hingga ke balai popis, Andi berkata keluarganya faham dengan situasi yang melanda.

Kata Andi, keluargalah orang pertama yang tetap ada dan dekat dengan dirinya walau apa jua berlaku.

“Cuma, jujurnya saya sedikit hampa dan sedih apabila tugas dan tanggungjawab sebagai anak untuk membantu keluarga di kampung tidak dapat dilunaskan.

“Saya masih ada keluarga untuk ditanggung setiap bulan. Saya masih ada adik-adik yang bersekolah untuk dibantu. Bila jadi begini, saya bagai hilang arah, tapi saya tak boleh penat dan tetap kena teruskan langkah,” tuturnya.

Jelas Andi, buat masa ini dia menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa dan semoga menjadi pengajaran buat semua.

Ditebak mengenai perjalanan karier seninya selepas ini, peserta program realiti Big Stage musim pertama itu berkata, ada beberapa tawaran yang sudah diterimanya.

“Sekarang ini pun saya dalam proses kumpulkan bahan untuk siapkan album. Bila boleh keluarkan tu saya tak boleh nak janji dulu.

“Single-single lain pun akan menyusul juga nanti. Bab lakonan pula, tak lama lagi saya akan mula kembali ke set penggambaran untuk drama Melastik Ke Hatimu 2,” ungkapnya menamatkan perkongsian.

PELANTUN lagu Penat itu cuba menerima ujian dan takdir yang ditentukan Allah kepadanya dengan hati terbuka. Dia yakin ada hikmah tersirat di sebalik apa yang berlaku.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI