PETALING JAYA – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melalui penubuhan Perkhidmatan Pensijilan Produk (PCS) komited dalam membimbing pengeluar perabot tempatan untuk menghasilkan perabot yang berkualiti dan selamat digunakan melalui pensijilan perabot hijau.
Pensijilan yang dapat menjamin kualiti perabot ini bukan sahaja boleh menarik minat pembeli malah mampu menempatkan industri perabot di Malaysia setaraf dengan produk antarabangsa.
Keperluan untuk bersaing dengan lambakan perabot murah dan tidak mempunyai jaminan kualiti yang boleh dibeli dari luar negara dengan mudah juga boleh diatasi sekiranya pengeluar perabot di negara ini mampu menawarkan nilai tambah ke atas produk yang dipasarkan.
Ketua Program Pemerkasaan Pensijilan Produk, Hashim W. Samsi berkata, pensijilan perabot hijau juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam merealisasikan pertumbuhan ekonomi hijau dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Di Malaysia, SDG juga merupakan salah satu agenda penting dan ia sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Bercakap mengenai SDG, ia sering berkait rapat dengan tiga pendekatan utama iaitu sosial, persekitaran dan ekonomi. Justeru itu, FRIM melalui Skim Perabot Hijau komited dalam menghasilkan perabot yang memfokuskan ciri-ciri keselamatan di mana bukan sahaja selamat dari segi penggunaannya, tetapi ia turut menitikberatkan kesihatan pengguna,” katanya.
Menurut Hashim, pensijilan hijau ini bukan sahaja dapat menggalakkan SDG, malah turut membantu menempatkan semula negara ini sebagai antara pengeluar perabot terbesar di dunia.
“Tujuh hingga lapan tahun lalu, Malaysia adalah antara 10 negara pengeluar perabot terbesar di dunia.
“Namun pada masa ini, negara kita bukan lagi pengeluar terbesar perabot dunia kerana banyak faktor antaranya negara tidak mampu bersaing dari segi reka bentuk mahupun kos.
“Justeru itu, pensijilan ini diwujudkan bagi menambah satu nilai penting untuk memacu semula industri,” ujarnya.
Tambah Hashim, untuksesuatu produk mendapatkan pensijilan perabot hijau, ia akan diuji terlebih dahulu agar mematuhi standard antarabangsa dari segi keselamatan, kekuatan dan kestabilan.
“Kesemua aspek tersebut amat penting kerana, mengambil iktibar kejadian kanak-kanak ditimpa sebuah almari di Amerika Syarikat, rakyat di negara itu memandang serius tentang keselamatan perabot kerana kemalangan memang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Jadi, pengguna di sana kebanyakannya mahukan sesuatu produk yang terjamin kualitinya serta tidak membahayakan,” katanya.
Hashim memberitahu, selain aspek keselamatan, produk turut dipakejkan sekali dengan jaminan kualiti kesihatan daripada PCS, yang mana ia tidak akan melepaskan sumber yang membahayakan kesihatan pengguna dan alam sekitar untuk jangka masa panjang.
“Di Malaysia, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah memulakan SDG sejak tahun 2015 tetapi, sejak dua tahun lalu cuma satu syarikat sahaja yang mematuhi pensijilan hijau tersebut.
“Bagaimanapun, pensijilan itu diperoleh dari Australia.
“Susulan itu, FRIM menawarkan pensijilan hijau ini supaya syarikat pengeluar perabot di negara ini boleh bergerak pantas ke arah menghasilkan produk berkualiti,” ujarnya.
Jelasnya, pengeluar perabot di negara mungkin sukar untuk bersaing dengan pasaran perabot dari China ataupun Vietnam, namun sekiranya produk buatan tempatan dapat menawarkan sesuatu yang bukan sahaja mempunyai reka bentuk menarik, tetapi berkualiti untuk kesihatan dan persekitaran, itu adalah satu kelebihan yang bukan sahaja diterima pengeluar perabot tetapi kepada pengguna sendiri.
“Perabot yang dihasilkan syarikat tempatan perlu ada nilai tambah berbanding perabot yang dihasilkan oleh negara lain.
“Setiap syarikat juga bukan sahaja perlu mempunyai strategi pemasaran malah mereka juga perlu menitikberatkan penjenamaan yang menjamin kualiti supaya dapat meningkatkan kepercayaan pengguna dan reputasi,” katanya.
Hashim berkata, dalam menjalankan pensijilan hijau juga, FRIM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di mana setiap permohonan perabot yang mahu mendapatkan pensijilan itu akan diuji menggunakan mesin khas yang menepati standard luar negara.
“Setiap produk yang diberikan akan diuji beberapa kali menggunakan kaedah yang berlainan bagi mengenal pasti kualiti yang mencapai piawaian antarabangsa,” tambahnya.
Hashim menjelaskan, badan pensijilan skim itu juga mempunyai bahagian ujian teknikal di mana kakitangan teknikal akan mengesyorkan apa yang boleh dilakukan oleh syarikat untuk memastikan produk mereka mematuhi skim pensijilan hijau ini.
“Selain itu, dari segi ekonomi pula, pensijilan hijau ini amat penting kerana banyak negara sudah mula menceburi penghasilan perabot hijau dan dijangka pasaran produk ini akan menjadi besar.