KOTA TINGGI – Dua buah kapal asing memberi alasan tidak tahu vesel mereka sedang bersauh bagi mengelakkan daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Helah itu bagaimanapun tidak berhasil apabila Kapal kargo berdaftar dari Liberia dan kapal tangki dari Vietnam ditahan di di perairan Johor timur di sini pada Khamis dan semalam.
Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan dilakukan pada hari yang berbeza namun di lokasi berhampiran iaitu di kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Johor.
Katanya, penahanan pertama pada 9 September pada pukul 10.51 pagi melibatkan kapal kargo yang dikendalikan 22 kru warga Filipina berumur 24 tahun hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah
“Tidak jauh dari lokasi kapal kargo yang ditahan itu sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Vietnam pula ditahan semalam pada pukul 11.02 pagi. Kapal tangki ini turut membawa 27 kru warga Vietnam berumur 20 tahun hingga 47 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua nakhoda kapal mendakwa tidak mengetahui bahawa mereka sedang bersauh di dalam perairan Malaysia dan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah. – K! ONLINE