NEW YORK – Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic semakin hampir untuk mencipta sejarah tersendiri selepas berjaya melunaskan dendam dengan menewaskan pilihan keempat, Alexander Zverev pada aksi separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi semalam.
Pada saingan di Stadium Arthur Ashe itu, Djokovic terpaksa ‘berpeluh’ apabila bertarung dalam aksi lima set 4-6, 6-2, 6-4, 4-6, 6-2 untuk menewaskan Zverev yang sebelum ini menyingkirkannya di temasya Sukan Olimpik 2020 di Jepun, bulan lalu.
Keputusan tersebut menyaksikan langkah Djokovic semakin tersusun dalam usaha mencipta rekod menjuarai trofi Grand Slam ke-21 dalam kariernya selain keempat berturut-turut tahun ini apabila dijadualkan bertemu pilihan kedua, Daniil Medvedev di pentas final awal pagi esok.
Kata Djokovic, aksi bertemu Medvedev itu akan dianggap sebagai pertemuan ‘hidup mati’ kerana sudah menjadi sasarannya untuk meleburkan rekod sedia ada selain menyamai rekod yang dilakukan oleh Rod Laver untuk menjuarai empat trofi Grand Slam pada tahun yang sama.
“Saya sudah bersedia daripada mental dan fizikal untuk mengharungi aksi final menentang Medvedev nanti. Secara jujur, saya mahu anggap ia adalah perlawanan terakhir dalam karier memandangkan banyak sejarah yang bakal tercipta jika saya menang perlawanan itu.
“Ini adalah detik yang saya nantikan sepanjang karier dan sudah tentu peluang keemasan ini tidak boleh saya sia-siakan. Namun, saya juga perlu menghormati Medvedev yang mengharungi kempen yang cukup positif sepanjang Terbuka AS ini.
“Mengenai aksi separuh akhir tadi, saya cukup puas apabila dapat menewaskan Zverev yang kita tahu memiliki kualiti tersendiri di atas gelanggang. Namun, saya lebih bersedia pada aksi ini dan saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,” katanya.
Sebagai rekod, Djokovic yang kini berusia 34 tahun telah menyamai rekod yang sebelum ini dikongsi oleh dua musuh tradisinya, Rafael Nadal dan Roger Federer apabila menjuarai Kejuaraan Wimbledon sekali gus trofi Grand Slam ke-20 peribadinya pada Julai lepas. – AGENSI