fbpx

Denmark isytihar bebas sekatan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menikmati makanan di sebuah kafe di Roskilde, Denmark selepas perniagaan dibuka semula pada April lalu. - AFP

COPENHAGEN – Denmark menjadi antara negara Kesatuan Eropah pertama yang menamatkan kesemua sekatan berkaitan Covid-19 bermula kelmarin, selepas mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduknya, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Selepas 548 hari menjalani kehidupan dengan peraturan ketat bagi mengekang penularan pandemik, penduduk negara itu kini kembali menjalani kehidupan normal dengan bukti penerimaan vaksin sudah tidak diwajibkan.

Berdasarkan data program vaksinasi kebangsaan, lebih 80 peratus penduduk negara itu yang berusia 12 tahun ke atas telah menerima pelalian penuh.

“Saya tidak merasakan tindakan ini sebagai keputusan terburu-buru atau terlalu awal. Kita kembali membuka pintu untuk kehidupan normal tetapi dalam masa sama boleh menutupnya semula jika keadaan memaksa,” kata Profesor Virologi Universiti Aarhus, Soeren Riis Paludan.

Bermula tengah malam kelmarin, kerajaan Denmark tidak lagi mengklasifikasikan Covid-19 sebagai penyakit yang membahayakan masyarakat.

Pada hujung Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Magnus Heunicke memberitahu bahawa Covid-19 telah bertukar status menjadi epidemik di negara itu dan penularannya adalah di bawah kawalan.

“Bagaimanapun, ia belum berakhir sepenuhnya dan kerajaan akan bertindak sewajarnya mengikut keadaan semasa,” tegas Heunicke.

Sementara itu, Profesor Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Copenhagen, Jens Lundgren berpendapat, Denmark bernasib baik kerana kedudukannya sebagai sebuah negara pulau terpencil banyak membantu dalam keberkesanan program vaksinasi kebangsaan.

“Bagaimanapun, kebebasan ini tidak boleh diambil ringan kerana seluruh dunia masih bergelut dengan gelombang baharu Covid-19 dan ia juga mungkin berlaku kepada negara ini.

“Penduduk Denmark perlu berhati-hati dan tidak berasakan bahawa Covid-19 sudah berakhir kerana ia mungkin akan kekal di sekeliling kita sampai bila-bila,” tegas Lundgren. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI