LIPIS – Mangsa angin puting beliung di Kampung Chegar Perah di sini dapat menarik nafas lega apabila menerima bantuan segera bagi membina semula dan membaik pulih rumah mereka yang rosak dalam kejadian ribut kelmarin.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu melibatkan pembinaan sebuah rumah baharu dan juga baik pulih 17 buah rumah yang rosak.
“Kerajaan menyediakan peruntukan segera bagi membolehkan seramai 49 orang mangsa angin puting beliung daripada 19 buah keluarga di kampung ini kembali hidup selesa seterusnya menjalani kehidupan seperti biasa.
“Kita akan membina rumah baharu untuk seorang mangsa, Mohd. Nor Mat Saman kerana kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) rosak teruk apabila semua bahagian bumbung tercabut manakala bahagian tiang dan lantai sudah reput,”katanya selepas melawat mangsa angin puting beliung di Kampung Chegar Perah, di sini semalam.
Sempena lawatan tersebut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut menyumbangkan bantuan wang tunai, bakul makanan serta peralatan seperti tilam, bantal dan selimut kepada mangsa bencana.
Hari ini Kosmo! melaporkan suasana tenang di Kampung Chegar Perah di sini kelmarin bertukar kelam kabut ekoran kejadian ribut yang membawa bersama angin kencang sehingga menggemparkan penduduk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu sebanyak 18 buah rumah rosak teruk akibat dibadai angin yang berlaku dalam tempoh 30 minit.
Menurut Abdul Rahman sebanyak RM53,000 diperuntukkan bagi membina sebuah rumah baharu manakala bagi baik pulih rumah yang rosak sebanyak RM13,000 maksimum diperuntukkan untuk setiap buah rumah.
Sementara itu, mangsa puting beliung, Mohd. Nor Mat Saman berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan Pejabat Parlimen Lipis kerana membantu membina
rumah baharu bagi menggantikan kediamannya yang rosak teruk. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929