fbpx

Bantuan perikanan meningkat kepada RM3.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahar Abdullah (tiga dari kiri) bersama Abdullah Jaafar (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan benih ikan tilapia kepada lima penternak ikan di Kuantan semalam.

KUANTAN – Dalam berhadapan pandemik Covid-19, jumlah bantuan yang disalurkan Jabatan Perikanan di negeri ini meningkat kepada RM3.9 juta pada tahun ini berbanding RM2.8 juta pada tahun lalu.

Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, bantuan di bawah dasar jaminan makanan itu diberikan kepada kumpulan sasar di negeri bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Bantuan antaranya meliputi skop khidmat sokongan akuakultur dan biosekuriti, geran pemadanan kawasan zon industri akuakultur, pengembangan akuakultur, elaun sara hidup nelayan, bantuan input peralatan, bantuan benih ikan dan pelbagai lagi.

“Sebagai jabatan teknikal usaha sedang dilipatgandakan untuk membimbing usahawan dan golongan muda dalam bidang perikanan termasuk menambah nilai pengeluaran melalui pemprosesan produk dan pembungkusan supaya dapat dipasarkan lebih meluas secara dalam talian,”katanya selepas lawatan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah di Felda Panching Selatan di sini semalam.

Menurut Abdullah pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan bagi membantu kumpulan sasar yang terlibat dalam industri perikanan di negeri ini agar terus berdaya saing meskipun dalam berhadapan pandemik Covid-19.

Katanya dalam usaha mencapai pengeluaran hasil berimpak tinggi, Jabatan Perikanan juga giat memfokuskan kepada bimbingan usahawan bagi menjalankan aktiviti akuakultur
secara intensif dan super intensif.

Selain itu katanya pihak Jabatan Perikanan juga menyokong ternakan ikan khususnya patin dalam sangkar secara kluster yang menunjukkan potensi dan daya maju yang tinggi.

Sementara itu beliau berkata, jumlah pengeluaran ikan (ikan untuk makanan) di negeri Pahang bagi subsektor perikanan laut, akuakultur dan sungai pada tahun 2020 ialah sebanyak 117,317 metrik tan yang bernilai kira-kira RM940 juta.

“Walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula 2020, pengeluaran ikan tangkapan, akuakultur dan perikanan sungai di Negeri Pahang berada dalam kedudukan lima negeri tertinggi di Semenanjung Malaysia dan adalah yang tertinggi di Pantai Timur,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI