KUALA LUMPUR – Sebanyak 984 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Operasi Samseng Jalanan, Operasi Motosikal dan Operasi Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara bermula pada Jumaat hingga awal pagi tadi.
Operasi tersebut telah dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dengan kekuatan 9 pegawai dan 51 anggota di Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Kuching dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya turut menyita 43 buah motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).
“Bagi Operasi Motosikal di Jalan Bangsar semalam, polis telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pada tarikh sama, seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditahan di sekitar Duta Kiara kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bagi Operasi Samseng Jalanan yang dilakukan awal pagi tadi di Lebuh Raya Duke, seorang pelajar sekolah dan mekanik telah ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman dan bersaing.
“Sementara di Jalan Kuching, dua lelaki yang juga pekerja kilang telah ditahan kerana melakukan kesalahan sama.
“Kesemua tangkapan berusia 15 hingga 25 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee Kuala Lumpur dan akan dituduh dibawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya selain mengganggu pengguna jalan raya lain,” jelasnya.
JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi terutamanya pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929