JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menahan 19 individu yang sedang leka berhibur dalam premis kedai makan dan minum di Taman Pelangi, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, serbuan dijalankan menerusi Ops Noda pada pukul 9 malam.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 40 tahun melibatkan 14 lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang wanita warga China.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menahan 19 individu di dalam premis itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pusat hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN.
“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala 17 warga tempatan dikenakan kompaun RM5,000 masing-masing kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Sementara itu, seorang lagi warga asing dikenakan tahanan reman selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB 2021). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929