GEORGE TOWN – Proses vaksinasi Covid-19 untuk golongan remaja di negeri ini dijangka bermula pada hujung bulan ini dengan sekolah dijangka menjadi pusat pemberian vaksin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, seramai 130,000 remaja di Pulau Pinang akan menerima vaksin berkenaan bermula minggu keempat pada bulan ini.
“Kita akan berikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja di sekolah dengan ditemani ibu bapa untuk mendapatkan kebenaran.
“Pelajar ini akan dipanggil mengikut keutamaan yang dikenalpasti. Saya akan umumkan minggu depan untuk negeri lain berhubung vaksinasi bagi remaja,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin mengumumkan vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan menerima vaksin jenis Pfizer. – K! ONLINE