fbpx

Mosti kenal pasti tiga punca penerima vaksin tiada sijil digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham (dua dari kiri) ketika melawat operasi PPV di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Nombor siri vaksin yang tidak dikemaskini di stesen terakhir semasa menerima suntikan merupakan salah satu daripada tiga faktor yang menyebabkan individu yang sudah lengkap dua dos, namun masih belum menerima sijil digital vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu disebabkan kesibukan petugas kesihatan menyuntik ramai penerima vaksin setiap hari sehingga ada nombor siri vaksin tidak dikemas kini semasa proses akhir di stesen vaksinasi.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) turut mengenal pasti punca kedua yang menyebabkan penerima masih belum menerima sijil digital adalah maklumat penerima di dalam aplikasi MySejahtera berbeza dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ada penerima tersilap memasukkan maklumat diri seperti ejaan nama atau nombor kad pengenalan tidak lengkap berbanding data JPN ketika membuat pendaftaran di MySejahtera.

“Bagi faktor ketiga, ada penerima mendapat suntikan vaksin di luar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti program dijalankan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin di luar negara apabila data-data tersebut tidak melalui sistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbat selepas mengadakan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Adham, data-data suntikan di luar PICK perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu sehingga menyebabkan sijil digital penerima vaksin tidak dapat dikeluarkan serta-merta.

Ujarnya, selepas tiga faktor utama terbabit dikenal pasti, Mosti yang dilantik sebagai penyelaras PICK bersama Kementerian Kesihatan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan memberi tempoh seminggu kepada pasukan MySejahtera menyelesaikan kes penerima vaksin yang sudah lengkap dua dos, namun masih tidak memiliki sijil digital.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI