BUKIT GANTANG – Fungsi masjid di negara ini akan diperluaskan apabila dicadang untuk dijadikan sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.
Ia melibatkan kolaborasi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, langkah itu bagi menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat.
“Hasrat menjadikan masjid sebagai tempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat itu amatlah wajar kerana telah dipraktikkan pada masa lalu.
“Dengan wujudnya kepelbagaian aktiviti itu kelak, pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan spiritual dapat dijayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada remaja lumpuh, Ahmad Auza’e Subri di Kampung Sungai Petai Changkat Jering di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ketika ini projek sedemikian telah pun dimulakan di Wilayah Persekutuan dan akan dikembangkan ke masjid -masjid di seluruh negara.
Menurut Idris lagi, sebagai permulaan dua masjid telah dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929