JOHOR BAHRU – Johor bakal menerima 10,000 bekalan vaksin Covid-19 jenis CanSino minggu depan yang dikhususkan untuk penduduk di kawasan pedalaman termasuklah masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penerimaan vaksin jenis itu akan dapat merancak dan memperluas lagi proses pemberian vaksin di Johor kerana vaksin berkenaan hanya melibatkan pemberian satu dos suntikan sahaja.
“Vaksin jenis ini dirancang untuk kegunaan masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses termasuklah di kawasan perkampungan orang asli.
“Penerimaan vaksin ini juga akan memudahkan petugas barisan hadapan untuk memberi suntikan kepada individu yang sukar bergerak atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin dengan sendirinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat pelaksanaan Program Outreach Vaksin Covid-19 di Taman Perbadanan Islam Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, Hasni turut memaklumkan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’ di beberapa PPV negeri ini dilihat mampu mengatasi beberapa masalah yang dihadapi berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini. – K! ONLINE