KOTA BHARU – Kelantan FC nyata bukan tandingan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) apabila tumpas 0-3 pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, JDT II terlebih dahulu memperoleh jaringan pertama seawal minit ke-11 menerusi tandukan kencang ketua pasukan, Mohamad Fadhli Mohd. Shas hasil sepakan sudut Stuart John Wilkin yang melepasi jangkauan penjaga gawang Kelantan FC, Mohamad Faridzuen Kamarudin.
Dua minit berselang, Fernando Rodrigues mengukuhkan cengkaman JDT II apabila meledakkan jaringan kedua pelawat.
Tuan rumah yang tersentak dengan dua jaringan itu cuba bangkit pada minit ke-21, namun rembatan Natanael Ringo berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol JDT II, Shaheeswaran Thavakumar untuk menyelamatkan keadaan.
Peluang terbaik Kelantan FC merapatkan jurang jaringan hadir pada minit ke-40, tetapi rembatan padu Muhammad Izaffiq Ruzi sekadar mengegar sisi gol pelawat sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Natanael Ringgo hampir-hampir menghadiahkan jaringan pertama skuad The Red Warriors (TRW) pada minit ke-51, namun tandukannya terus ke dakapan Shaheeswaran.
Keghairahan Kelantan FC mencari jaringan sulung dihukum dengan jaringan ketiga JDT II menerusi rembatan Kei Hirose pada minit ke-56 yang gagal diselamatkan oleh Mohamad Faridzuen.
Pelawat yang mendominasi perlawanan selepas itu buntu untuk menambah jaringan apabila gagal menterjemahkan peluang terhidang ke dalam bentuk jaringan.
Keputusan 0-3 itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan TRW tumbang di laman sendiri. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929