fbpx

Jangan sebab saya, tapi pakailah kerana Allah – Nana Mahazan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMEJ manis Nana yang mengenakan tudung sejak 15 Ogos lalu mendapat reaksi positif daripada peminatnya.

PETALING JAYA – Perubahan Nana Mahazan yang mula mengenakan tudung sejak 15 Ogos lalu menerima respons positif daripada peminat sehingga ada yang mendedahkan mula mengenakan stoking disebabkan pengacara itu.

Nana bagaimanapun berkata, sebaiknya peminat tersebut berbuat kebaikan dan berubah kerana Allah, bukan disebabkan dirinya yang naif dalam banyak hal agama.

Kata bekas bintang Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu lagi, dia bukan orang yang tepat sekiranya ada mana-mana wanita di luar sana mahu bertanya tentang penghijrahan dan agama.

“Jangan buat sebab saya, tapi Allah. Kalau bab pakai stoking, tanyalah orang yang lebih arif. Jangan tanya saya yang sangat naif dalam bab agama.

“Saya bukan orang yang betul untuk kalian tanya. Tapi kalau awak pakai stoking sebab tengok saya, alhamdulillah,” katanya dalam sesi siaran langsung dalam Instagramnya sebentar tadi.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia sebenarnya sangat terharu apabila ramai yang mendoakan kebaikan buat dirinya semenjak mula berhijab.

Ada masanya, Nana mengakui dirinya tidak layak menerima segala pujian tersebut.

“Segala pujian itu cuma untuk Allah. Saya masih Nana yang dulu. Saya cuma nak jadi lebih baik dari segi penampilan. Sebab penampilan ini satu perkara yang saya sedang bergelut. Tapi tak perlu cerita lanjut kepada orang.

“Ini semua proses saya dan saya amat bersyukur. Tuhan beri rasa itu. Bila bertaubat dan lalui saat itu, saya rasa manis dan nikmat,” katanya lagi.

Dalam sesi sama, Nana turut menjawab soalan daripada pengikutnya yang bertanya tentang penerimaan keluarga mentua tentang perubahan imejnya sekarang.

Jawab Nana, dia bersyukur kerana dikurniakan keluarga mentua yang sangat baik, sentiasa menyokong dan menerima apa sahaja yang dilakukannya.

“Masa itu, mak mentua saya punya hari lahir dan kami berhubungan menerusi panggilan video. Dia cakap, nampak saya pakai tudung dalam Facebook dan saya jawab ya, kemudian dia tanya lagi kenapa.

“Saya jawablah sudah tiba masanya. Untuk mereka faham, mungkin agak susah sikit. Tapi tak mengapa, mereka sangat okey. Sebelum kahwin pun, mereka terima saya seadanya dan sangat menyokong ketika Brian memeluk agama Islam. Mereka tahu, pada akhirnya ini semua pilihan kita, asalkan anak-anak bahagia,” ujarnya.

15 Ogos lalu, Nana mencuri perhatian apabila tampil berhijab menerusi sebuah video berdurasi 30 minit yang dimuat naik dalam Instagramnya ketika sedang mempromosikan produk berupa sambal yang diusahakannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI