fbpx

Jangan jadi pemfitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

ISNIN lalu berita mengenai seorang suri rumah yang didenda RM12,000 oleh Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebar video tidak benar mengenai vaksin hangat diperkatakan umum.

Hukuman tersebut diberikan selepas wanita berusia 46 tahun itu didapati bersalah menyebarkan video tersebut. Ada yang mendakwa hukuman yang sama juga perlu dikenakan kepada kesemua penyebar fitnah vaksin.

Sejak negara menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) awal tahun lalu, pelbagai kempen dipromosikan oleh pihak kerajaan dalam usaha memberi kesedaran kepada individu untuk mengambil vaksin.

Sejak itu juga, pelbagai berita palsu ditularkan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab terutamanya golongan anti-vaksin.

Penyebaran berita-berita inilah yang yang menyebabkan sesetengah individu terpengaruh dan enggan ambil vaksin.

Setakat 2 Ogos lalu, empat ne­geri iaitu Sabah, Kelantan, Pahang dan Terengganu masih merekodkan kadar pendaftaran terendah bagi PICK.

Secara tidak langsung hasrat negara untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini pastinya memakan sedikit masa biarpun data Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan sehingga 2 September lalu mendedahkan 47.2 peratus rakyat di negara ini sudah menerima suntikan dos lengkap.

Selain menyebarkan berita palsu, golongan ini juga menggunakan berita-berita tular ber­kenaan suntikan vaksin kosong sebagai ‘umpan’ untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Menurut Pensyarah Anatomi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Amira Raudhah, akibat penularan berita ini, masyarakat menjadi semakin keliru dan ragu-ragu.

Kesannya, usaha untuk me­ningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengambil vaksin boleh menjadi sia-sia.

“Berbagai kempen kesedaran dan usaha yang dibuat untuk meyakinkan masyarakat bagi menerima vaksin akhirnya mungkin akan terganggu disebabkan be­rita tular yang menimbulkan panik dalam kalangan kalangan masyarakat.

“Tentunya isu ini serius. Oleh itu, sebarang tuduhan berkenaan pemberian vaksin sepatutnya perlu mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.

Memetik ulasan Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, golongan ini sering membuat tuduhan palsu terhadap vaksin dengan mencampurkan fakta separa betul bagi membuatkan orang ramai mudah percaya.

Begitupun ujarnya, golongan ragu-ragu tidak begitu mendatangkan masalah serius kerana mereka menolak vaksin kerana kurang faham.

Jika diterangkan dan diberi pendedahan lanjut, golongan ini kebiasaannya akan bersetuju terima vaksin.

Sementara itu, Pensyarah Mikrobiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Liyana Azmi berkata, masyarakat perlu faham bahawa pengurusan PPV merupakan satu perkara yang kompleks, di mana setiap sudut pemberian vaksin telah diteliti dengan terperinci oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Dari penghantaran stok vaksin, penyimpanan dan penjagaan suhu vaksin, pembahagian vaksin hingga ke latihan yang diberi kepada para pemberi vaksin dan petugas PPV, semuanya dipantau dan dikawal rapi.

“Semua proses ini direkod dan telah dijalankan menurut garis panduan yang terperinci daripada KKM dan juga oleh pakar bidang vaksin, kawalan infeksi, kesihatan masyarakat dan sebagainya,” jelasnya.

Akhir kata, semoga penularan berita-berita seperti ini ini diambil sebagai iktibar dan menjadi peluang untuk rak­yat menimba ilmu dengan lebih mendalam terutamanya ber­kenaan pemvaksinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI