JAKARTA – Satu tinjauan syarikat pelancongan Britain, Lastminute.com mendapati Indonesia berada di kedudukan pertama dalam senarai negara paling santai di dunia, lapor laman berita Suara.com, semalam.
Dalam tinjauan yang dikenali sebagai Negara-Negara Paling Santai di Dunia, terdapat lima negara yang menjadi pilihan pelancong antarabangsa.
Antara kriteria yang dimasukkan dalam tinjauan ini adalah negara yang disaran untuk dilawat bagi tujuan berehat, berhibur dan menikmati percutian di tahap maksimum.
“Indonesia berada di kedudukan pertama kerana mempunyai rangkaian pulau dan pantai yang besar, indah serta antara tercantik di dunia.
“Kemudahan pelancongan, kemesraan pekerja dan lokasi-lokasi mesra pengunjung juga menjadi antara tarikan besar warga luar ke Indonesia untuk bercuti,” demikian menurut kenyataan syarikat itu.
Selain Indonesia, empat negara lain yang menduduki tangga lima teratas adalah Australia, New Zealand, Sri Lanka dan Iceland. – Agensi