PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan mufti-mufti setiap negeri untuk membincangkan draf prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid dan surau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, usaha itu juga sejajar hasrat kerajaan mempersiapkan negara memasuki fasa endemik akhir bulan depan.
“Pertemuan itu bagi membincangkan cadangan beri ruang kapasiti lebih luas untuk umat Islam solat berjemaah dengan langkah keselamatan rapi,” kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.
Langkah itu ujarnya dibuat susulan jangkaan 80 peratus penduduk negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin pada hujung Oktober ini bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok.
Jabatan Kemajuan Islam turut diarah mengambil tindakan membuat ketetapan baharu SOP tertakluk kepada persetujuan setiap negeri dan pertemuan itu yang turut melibatkan pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara akan dibuat dalam masa terdekat bersama semua mufti dari seluruh negara.
Meskipun tidak merujuk mana-mana insiden, kenyataan Idris itu dipercayai mengulas video tular netizen yang tidak berpuas hati had jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Putra semalam. – K! ONLINE