JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akan menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang pesakit Covid-19 yang tidak diberi makan dan minum selain dimarahi petugas kesihatan di hospital berkenaan yang tular di media sosial, semalam.
Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Katanya, sekiranya kejadian itu terbukti kesahihannya, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap petugas kesihatan terbabit.
“Pihak pengurusan memandang serius akan perkara yang berlaku dan tindakan awal telah dilaksanakan.
Kami amat kesal dengan kejadian itu sehingga menyinggung perasaan masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Semalam, seorang pengguna membuat hantaran di akaun Facebook mendakwa isterinya tidak diberi makan dan minum kira-kira 14 jam selepas dimasukkan ke HSA kerana positif Covid-19 dan kekurangan oksigen.
Dalam dakwaan berkenaan, isterinya turut dimarahi petugas kesihatan apabila meminta bantuan termasuklah untuk ke tandas kerana isterinya tidak mampu berjalan seperti biasa dan memerlukan penggunaan tongkat.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929