SUNGAI PETANI – Cubaan seorang pemandu bas persiaran menyeludup 150 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyikan di dalam lapan beg pakaian dari Alor Setar dekat sini ke Pahang gagal apabila dia ditahan di Jalan Badlishah di sini malam semalam.
Suspek berusia 46 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah di hadapan sebuah pusat beli belah kira-kira pukul 11.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, intipan awal dilakukan oleh pasukan serbuan di Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar dan mendapati pemandu bas terbabit mengisi beg berkenaan di ruang simpanan barang kira-kira dua jam sebelum itu.
“Serbuan dilakukan ketika bas persiaran itu berada di hadapan sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani dan pemeriksaan lanjut menemui 626 bungkus daun ketum dibalut plastik lut sinar yang dimasukkan ke dalam beg pakaian tersebut.
“Kesemua daun ketum yang dianggarkan bernilai RM15,000 itu disyaki mahu diseludup ke Pahang dan turut ditahan seorang wanita berperwatakan lelaki berusia 37 tahun yang berada di dalam bas persiaran tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. – K! ONLINE