PERLUMBAAN Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk meneruskan baki perlumbaan musim ini yang tertangguh berikutan penularan pandemik Covid-19.
Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. selaku penganjur kejuaraan perlumbaan dua roda tersebut mengumumkan perlumbaan pusingan ketiga dan keempat akan berlangsung pada 18 dan 19 September ini di Litar Antarabangs Sepang (SIC) Utara.
Manakala, perlumbaan pusingan kelima dan keenam akan berlangsung di Terengganu di Litar Permotoran Terengganu yang berlangsung pada 2 dan 3 Oktober depan.
“Bagi pihak warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).
“Mereka semua yang telah banyak membantu dalam usaha kami untuk melengkapkan 10 pusingan musim 2021 Kejuaraan Petronas Cub Prix seperti yang dirancang.
“Pada masa yang sama, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja kejuaraan, terutamanya penaja utama kami, Petronas di atas sokongan mereka selama ini,” katan Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg.
Ron Hogg menegaskan, perlumbaan tersebut akan diadakan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan penonton masih belum dibenarkan untuk hadir ke litar untuk menyaksikan saingan itu.
“Kehadiran para penonton masih belum lagi dibenarkan. Malah, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) penganjuran acara akan menjadi lebih ketat berbanding SOP yang dipraktikkan musim lalu,” tambahnya.