BEIJING – Pegawai-pegawai di China membelanjakan wang AS$24 juta (RM99.4 juta) untuk meleraikan sebuah patung dewa perang kuno, Guan Yu setinggi 58 meter selepas orang ramai mengadu struktur tersebut ‘menyakitkan mata’, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Menurut akhbar South China Morning Post, patung gangsa itu menelan belanja AS$26 juta (RM107.7 juta) untuk dibina, namun terpaksa dileraikan oleh pekerja di bandar Jingzhou dalam wilayah Hubei, selatan China.
Setakat ini, hanya kepala patung itu yang sudah dicabut.
Guan Yu merupakan seorang jeneral pada zaman pemerintahan Dinasti Han iaitu antara tahun 202 Sebelum Masihi hingga 220 Masihi. Dia kemudiannya digelar Dewa Perang. Patung tersebut dibina pada 2016 di atas sebuah muzium, namun kewujudannya menerima aduan dalam kalangan penduduk tempatan dan pegawai pemerintah.
Mereka berkata, patung tersebut ‘hodoh’ dan projek yang sia-sia itu telah merosakkan keindahan bandar Jingzhou.
Kementerian Perumahan Jingzhou pada Disember tahun lalu menyatakan bahawa patung tersebut perlu dileraikan.
Binaan tersebut merupakan patung Guan Yu yang terbesar di dunia.
“Sebelum ini, kami berhasrat untuk mencatat rekod dunia Guinness World Record. Oleh itu, patung tersebut direka bersaiz gergasi semasa proses reka bentuknya,” kata wakil Ketua Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Jingzhou, Zhang Hong.
Kata Hong lagi, tujuan patung itu dihasilkan dengan sangat besar juga adalah untuk menarik minat pelancong.
Ia bagaimanapun hanya berjaya mengumpulkan sekitar AS$2 juta (RM8.29 juta) sejak didirikan. – Agensi