WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengisytiharkan ‘perang’ terhadap 80 juta penduduk AS yang masih belum mengambil suntikan vaksin Covid-19, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Perang itu dilancarkan seiring dengan pengumuman vaksinasi mandatori oleh kerajaan merangkumi dua pertiga sektor pekerjaan di AS.
Biden berkata, tiada apa lagi yang perlu ditunggu untuk mendapatkan vaksinasi terutama ketika negara berdepan gelombang terbaharu jangkitan Covid-19 yang menyaksikan golongan tidak menerima vaksin paling ramai dimasukkan ke hospital.
“Ini bukan lagi berkaitan dengan hak kebebasan memilih. Ini adalah mengenai melindungi diri sendiri, rakan sekerja, orang tersayang seterusnya masyarakat di sekeliling kita. “Tanggungjawab saya sebagai Presiden adalah melindungi semua rakyat AS,” tegas Biden. Menerusi mandat baharu tersebut, kakitangan kerajaan persekutuan yang menolak vaksinasi boleh dipecat, manakala syarikat swasta yang ingkar arahan tersebut akan dikenakan denda mencecah ribuan dolar.
“Keengganan anda semua untuk mengambil suntikan vaksin memberikan impak negatif kepada negara. Kesabaran kerajaan semakin tipis jadi, sila lakukan perkara yang betul dan wajar.
“Tolong ambil suntikan vaksin. Vaksinasi berkesan dalam mengurangkan gejala serius jangkitan Covid-19.
“Ini sudah terbukti. Vaksin ini percuma dan cukup untuk semua orang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Biden turut menolak sebarang unsur politik berkenaan cara kerajaan menangani wabak Covid-19 dan menyelar semua pihak yang cuba menjadikan pandemik sebagai senjata untuk menjatuhkan pentadbirannya.
“Tiada apa yang berselin dung di sebalik Covid-19. Ia adalah wabak yang sebenar dan agenda politik pandemik telah menyebabkan jutaan rakyat mati kerana enggan mengambil vaksin. “Kedegilan sesetengah individu untuk mendapatkan vaksin menyebabkan 200 juta penduduk lain di negara ini tidak dapat kembali menjalani kehidupan normal mereka,” kata Biden.
Beliau mengeluarkan perintah eksekutif malam kelmarin yang mewajibkan semua pekerja dan kontraktor persekutuan mendapatkan vaksinasi.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki mengesahkan bahawa mana-mana kakitangan awam yang menolak vaksin akan berdepan risiko dipecat daripada jawatan mereka.
Kakitangan awam berstatus tetap dan kontrak kini mempunyai masa selama 75 hari untuk mendapatkan vaksinasi sebelum berdepan tindakan tegas. – AGENSI