fbpx

17 ditahan seronok berparti di kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua mereka yang ditahan merupakan penduduk tempatan dan telah mendaftar masuk ke kondominium berkenaan kira-kira satu jam sebelum serbuan dilakukan.

MELAKA – Seramai 17 individu termasuk lapan remaja ditahan selepas dipercayai mengadakan parti persendirian dalam dua serbuan berasingan di kondominium di Jalan Persisiran Bunga Raya, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, kesemua individu berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, serbuan berkenaan dibuat susulan pihak polis menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, hasil serbuan di lokasi, pihak polis telah menahan sekumpulan lapan remaja termasuk dua gadis dan seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai berkumpul di kondominium tersebut untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Kesemua mereka yang ditahan merupakan penduduk tempatan dan telah mendaftar masuk ke kondominium berkenaan kira-kira satu jam sebelum serbuan dilakukan.

“Kita percaya mereka berkumpul hanya untuk melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan media keluarkan hari ini.

Tambahnya, lapan lagi lelaki berusia 24 hingga 35 tahun dicekup ketika sedang berdisko sambil minum minuman keras dengan hasil saringan ujian air kencing dilakukan seorang remaja berusia 19 tahun turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kesemua 17 individu terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 setiap orang mengikut Peraturan 16PU(A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

“Kita telah mengambil keterangan bagi siasatan mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Melaka sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI