ACCRA, Ghana – Seorang wanita yang bimbang dia akan melahirkan anak yang tidak comel didakwa secara sengaja mengandungkan anak bekas teman lelakinya yang tampan, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Laman sosial Afrika gempar dengan kisah wanita tersebut. Dia sebelum ini berkahwin dengan suaminya kerana lelaki merupakan seorang penyayang, berjaya dan bekerja keras.
Menerusi satu pendedahan yang dibuat di sebuah stesen radio Accra, wanita itu memberitahu bahawa dia amat menyukai semua perkara tentang suaminya kecuali wajah lelaki itu yang kurang tampan.
Oleh kerana prospek melahirkan anak yang tidak comel menakutkan dirinya, wanita itu sanggup makan pil perancang kehamilan setiap kali selepas bersama suaminya.
Bagaimanapun, selepas melakukan pemeriksaan di sebuah klinik kesuburan, doktor memaklumkan bahawa kedua-dua suami isteri sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk hamil.
Wanita itu kemudian menghubungi bekas teman lelakinya yang tampan dan menjalin hubungan seks dengan lelaki itu.
Biarpun lelaki itu juga sudah berkahwin, sikapnya yang tidak setia menjadikan wanita itu mudah untuk kembali menjalin hubungan sulit dengan dirinya.
Rancangan itu berhasil apabila wanita itu melahirkan tiga orang bayi yang comel dan kini sedang hamil anak keempat.
Bagaimanapun, baru-baru ini, wanita itu berdepan masalah apabila suaminya memenangi visa ke Amerika Syarikat dan mereka sekeluarga perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), yang seterusnya akan membongkar penipuan wanita itu selama ini.
Wanita itu bertanyakan kepada stesen radio terbabit sama ada dia perlu berterus terang sekarang atau menunggu keputusan ujian DNA tersebut. – Agensi