PETALING JAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan tersebut selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.
“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.
“Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, selain Rang Undang- Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan mengenai pelaksanaan Undi18.
“Seterusnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang,” ujarnya.
Ismail Sabri berkata, setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
“Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
“Tawaran transformasi turut meliputi Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri,” tambahnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929