TERUEL, Sepanyol – Dua pelumba pasukan Suzuki, Alex Rins dan Joan Mir memasang misi besar untuk mengulangi magis pada perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon di Litar Motorland Aragon hujung minggu ini.
Suzuki berjaya melakukan kejutan apabila menyaksikan Rins meraih kemenangan, manakala Mir turut meraih pencapaian membanggakan iaitu podium tempat ketiga pada GP Aragon dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim lalu.
Pada perlumbaan kedua di litar sama, dua pelumba itu sekali lagi meraih keputusan menakjubkan apabila masing-masing mengakhiri saingan di tempat kedua serta ketiga, manakala juara ketika itu menjadi milik Franco Morbidelli dari pasukan Yamaha.
“Litar Motorland adalah trek kegemaran saya kerana ia sangat dekat dengan kediaman datuk dan nenek saya. Jadi, saya dapat rasakan seperti berlumba di halaman sendiri setiap kali bersaing di sini.
“Sekarang kami tiba di Aragon dengan momentum terbaik selepas berjaya menaiki podium di Silverstone. Motivasi dan keyakinan saya semakin positif, malah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan.
“Tahun lalu kami berjaya mengutip banyak mata di sini. Saya harap kejayaan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu kami meraih satu lagi keputusan membanggakan pada perlumbaan minggu ini,” kata Rins.
Sementara itu, Mir berharap agar tidak mengalami masalah cengkaman tayar depan seperti dihadapi pada GP Great Britain di Litar Silverstone hujung bulan lalu sehingga menyaksikannya sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan kesembilan.
Keputusan itu menyebabkan Mir kini ketinggalan 65 mata di belakang seorang lagi pelumba Yamaha, Fabio Quartararo yang terus selesa mengemudi carta keseluruhan.
“Silverstone adalah hari malang buat saya kerana ketinggalan sangat jauh dengan Quartararo. Bagaimanapun, saya masih berada di tangga kedua keseluruhan dan harap dapat meraih keputusan terbaik minggu ini,” jelas Mir. – AGENSI