fbpx

Selidik dahulu sebelum sedekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

MERAIH sumbangan derma daripada orang ramai sehingga RM91,000.

Itu ‘pulangan’ lumayan yang diperoleh seorang pekerja kontraktor di Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Kerjanya mudah, menjaja kisah sedih kononnya 14 ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19.

Menurut maklumat yang tular menerusi media sosial, lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga September ini.

Mesej tular tersebut menyatakan kakitangan sebuah syarikat kontraktor itu yang mempunyai lapan anak telah kehilangan isteri dan tiga anaknya pada Jun dan Julai lalu.

Pada 2 September, lima lagi anaknya bersama ibu, kakak dan abang ipar juga dua anak mereka turut meninggal dunia akibat virus itu.

Rantaian maklumat itu juga turut memaparkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang mahu memberikan sumbangan khairat kematian keluarganya itu.

Peribahasa Melayu ada menyebut; “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke ta­nah juga.”

Pepatah itu sesuai menterjemahkan natijah yang diterima lelaki berkenaan apabila dia dicekup selepas tampil membuat laporan di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu lalu.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret Kota Tinggi di Johor te­lah menjatuhkan hukuman denda RM16,000 dan penjara tiga tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku salah atas dua pertuduhan menipu.

Ironinya, orang Malaysia ter­kenal dengan sifat pemurah dan suka menolong, malah dalam agama, kita dituntut untuk bersedekah serta membantu mereka dalam kesusahan.

Tetapi awas! dengan taktik penipuan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tegas menasihati masyarakat di negara ini agar berhati-hati dengan kelentong individu atau kumpulan sindiket.

Menurutnya, mereka mempunyai pelbagai helah tipu daya untuk meraih simpati yang a­khirnya kita terjebak dan sekali gus menjadi mangsa.

“Memang tidak dinafikan masrakat di negara ini mempunyai sifat pemurah, saling bantu-membantu, namun saya ingin menasihatkan selidik terlebih dahulu latar belakang individu atau kumpulan tersebut.

“Jika melibatkan sumbangan dan memohon bantuan, semak dulu kesahihan maklumat itu. Scammer atau sindiket peni­puan, mereka banyak cara dan taktik untuk menipu.

“Sekarang musim ramai orang susah terkesan akibat pandemik Covid-19, kesempatan ini digunakan sebaik mungkin mereka untuk melakukan kegiatan jahat tersebut,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din mendedahkan trend jenayah penipuan melibatkan medium laman sesawang, media sosial dan panggilan telefon semakin me­ningkat dan membimbangkan.

Buktinya, Polis Diraja Malaysia merekodkan sebanyak 67,552 kes penipuan siber dalam tempoh lima tahun sejak 2017 sehingga Jun lalu melibatkan kerugian RM2.23 bilion.

“Jenayah penipuan ini terus bermaharajalela apabila enam bulan ini, jumlah direkodkan sebanyak 10,032 kes sejak awal Januari hingga 20 Jun lalu iaitu mencecah 58.6 peratus berban­ding jumlah keseluruhan pada tahun lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI