fbpx

Sarimah ajak KJ hapus stigma sakit mental dengan lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARIMAH harap Khairy sudi menyokong usahanya untuk sama-sama memupuk kesedaran umum bagi mencegah gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim berharap mesej positif dalam lagu duetnya bersama Damian Mikhail berjudul Harapan dapat membantu menghapuskan stigma serta memberi sokongan emosi kepada individu bermasalah mental.

Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia merangkap Pengasas Bersama dan Duta Kempen #StandForHope berharap, lagu berkenaan mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia bawah pimpinan Khairy Jamaluddin untuk menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran kepada masyarakat sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

“Bagi saya Harapan adalah gubahan lagu yang menyalurkan suara ramai dalam membantu individu berhadapan tekanan dalaman atau kemurungan sekali gus menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan rasa prihatin dalam mencegah ke arah cubaan bunuh diri.

“Kalau YB KJ (Khairy) tak keberatan untuk mengetengahkan lagu ini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kami dalam memberi kesedaran kepada rakyat, kami sangat mengalu-alukan.

“Kempen ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk supaya sentiasa ambil tahu keadaan emosi insan sekeliling terutama keluarga, rakan serta jiran tetangga untuk mengelakkan terjadinya perkara menyedihkan kelak,” katanya ketika pelancaran single baharu dan video muzik Harapan, hari ini.

Lebih istimewa, pelancaran lagu Harapan juga diadakan serentak dengan sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Sementara itu, Sarimah yang tidak pernah berhenti menyebarkan kesedaran mengenai penyakit mental mengakui pengalaman sendiri berhadapan masalah depresi selepas melahirkan anak dua tahun lalu banyak membantunya memahami situasi dilalui individu lain.

Katanya, dia mendedahkan perkara itu supaya pengalaman dilalui dapat dikongsi dengan khalayak bagi membolehkan mereka yang menghadapi masalah sama segera mendapatkan rawatan sebelum ia menjadi kronik.

“Dua tahun lalu selepas bersalin saya mempunyai kesukaran untuk tidur, rasa bimbang, bertukar pendiam, cepat berpeluh dan hilang selera makan tanpa sebarang sebab yang sukar untuk dijelaskan.

“Pada ketika itu saya tidak sedar pun ia sebenarnya tanda awal kemurungan namun sokongan insan terdekat mendorong saya menemui doktor bagi mengenalpasti keadaan kesihatan mental dan fizikal saya.

“Alhamdulillah, dengan bantuan pakar, kesulitan itu dapat diatasi, malah dari situ saya mahu menolong orang lain melawan stigma menerusi perkongsian informasi supaya semua anggota masyarakat berpeluang mendapatkan bantuan sebelum terlambat.

“Apabila kita berkongsi dan meluahkan perasaan, kita dapat solusi untuk melegakan tekanan apatah lagi isu mental ini kadangkala tercetus disebabkan pelbagai perkara yang kita sendiri tidak sedar di mana puncanya,” luahnya.

Tambah wanita disegani ramai ini, semua individu tidak kira kanak-kanak hingga golongan dewasa berhak mendapatkan sokongan dan rawatan yang sewajarnya.

Menerusi perkahwinannya dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Tunku Sofia Najihah, 2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI