MERSING – Dihimpit kemiskinan memaksa tiga beranak tinggal di sebuah rumah kecil dan usang di Kampung Air Merah di sini yang dibina sejak 10 tahun lalu.
Norlaila Latun, 41, tidak menyalahkan takdir hidupnya malah bersyukur rumah itu merupakan ‘istana’ bagi mereka sebagai tempat berteduh bersama anaknya masing-masing berusia 17 dan 18 tahun.
Menurut Norlaila, rumah itu dibina arwah suaminya yang terletak di belakang rumah orang tuanya semakin hari semakin uzur.
“Arwah suami bina rumah ini sikit-sikit sejak kami berkahwin, rumah tiada bilik tapi hanya tutup dengan kain sahaja untuk memisahkan bahagian dalam rumah.
“Sekarang keadaan rumah semakin teruk, bumbung bocor sana-sini apabila hujan kami tadah air hujan menggunakan bekas,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Suami Norlaila, Subandi Punidi meninggal dunia pada Mei lalu akibat sakit asma kronik.
Pemergian suami tercinta memberi tamparan hebat buat dirinya kerana terpaksa membesarkan anak seorang diri selain hilang tempat bergantung.
Malah ujian demi ujian menimpa hidupnya apabila dia juga menghidap penyakit asma kronik.
Norlaila berkata, untuk membina sendiri rumah lebih baik memerlukan kos yang tinggi dan sememangnya dia tidak mampu, tambahan pula dia kini tidak mempunyai kerja tetap.
Ujarnya, bagi meneruskan kehidupan dia melakukan kerja-kerja mengambil upah kerja kampung sambil dibantu anak sulungnya.
“Saya bersyukur kerana anak memahami keadaan hidup ini, mereka juga tidak cakap banyak apabila duduk di rumah ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof semasa menyantuni keluarga Norlaila berkata, Yayasan Makmur Mersing dengan kerjasama Ikatan Anak Mersing akan membantu keluarga itu melalui permohonan bantuan rumah transit.
Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang di akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Norlalila Latun bernombor 01113-2900015731-2.