fbpx

Rohas persembah karya ‘aneh’, Hai Nona Manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROHAS percayakan kredibiliti Luncai Emas untuk melancarkan single baharunya yang berjudul Hai Nona Manis.

NAMANYA dalam industri mungkin kurang dikenali pendengar muzik arus perdana, namun penyanyi Rohas Remi pernah dikenali menerusi dua buah lagu popularnya, Tinggi Harap dan Fermina.

Kedua-dua buah lagu tersebut terkandung dalam sebuah album berjudul E S O K M A S I H I D E yang pernah dilancarkan Rohas pada Oktober 2016 iaitu sebuah karya eksperimental ‘art rock’, hasil kolaborasi bersama penerbit Kamal Sabran.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, kehadirannya dalam industri perlahan-lahan tenggelam dan lama-kelamaan kewujudannya seolah-olah lenyap daripada dunia muzik.

Selepas dua tahun menghilang, Rohas kembali dengan buah tangan terbaharu iaitu dua buah lagu, salah satunya berjudul Hai Nona Manis, terbitan syarikat rakaman Luncai Emas.

Lagu yang merupakan hasil kolaborasi bersama penerbit Yasin dan pemain dram kumpulan Pitahati tersebut dirakamkan pada tahun lalu.

“Dahulu ketika mengeluarkan album pertama, saya dan Kamal Sabran mengambil pendekatan yang sangat eksperimental. Mungkin terlalu eksperimental sehingga saya tidak mampu menghadam lagu-lagu sendiri.

“Perkara itu berlaku disebabkan konflik kepentingan iaitu saya mahukan lagu yang lebih rancak dan mempunyai rentak konsisten, sedangkan Kamal mahu mencipta muzik ‘masa hadapan’.

“Tetapi untuk lagu baharu ini, saya cuba mengambil pendekatan yang kurang eksperimentasi dan memberi lebih fokus kepada rentak dan melodi,” ujarnya.

Tambah Rohas, pembaharuan juga dilakukan pada bahagian penulisan lirik dengan mengubah konsep mesra pendengar iaitu menyampaikan perkara yang mudah difahami.

“Dalam album pertama, kebanyakan lirik lagu saya adalah tentang perkara umum, tanpa ada apa-apa cerita atau kisah. Kadang-kadang hanya luahan diri sendiri secara abstrak.

“Jadi menerusi lagu baharu kali ini, saya buat cerita yang lebih senang untuk dikenal pasti pendengar,” katanya yang bagaimanapun masih mengekalkan gaya penulisan dan bahasa sendiri sebagai identiti dirinya.

Cinta, penghargaan

Menceritakan tentang lagu baharunya, Rohas menjelaskan, Hai Nona Manis berpaksikan perihal menghargai seseorang yang bakal dicintai dan mengenang kasih sayang selepas kehilangan mereka.

Lagu berkenaan menjadi penanda aras baharu buat dirinya dalam penulisan kerana tema yang dipilih adalah sesuatu yang tidak pernah disentuh iaitu ‘aku, kau dan Dia’.

Tema tersebut membawa maksud, cinta yang dikongsi antara seseorang, insan yang mereka cintai dan Tuhan Yang Maha Melihat.

Berbicara lanjut tentang sumber ilham dan idea menghasilkan lagu baharu, Rohas berkata, adakalanya dia mendapat inspirasi daripada karya-karya artis lain dengan variasi genre.

“Inspirasi saya juga datang daripada pengamatan mata dan penelitian bicara dengan teman-teman yang mencerminkan kehidupan manusia serta dunia yang didiaminya.

“Termasuklah dunia perfileman seperti filem-filem Melayu zaman Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, karya era 1990-an dan naskhah dari Barat seperti Tenet. Tidak terkecuali mana-mana filem yang mempunyai visual dan penceritaan hebat,” katanya lagi.

Rakaman Hai Nona Manis menggunakan khidmat beberapa orang pemuzik iaitu Fai (dram), Limin daripada kumpulan A. Limin (gitar), Ojay Sendiket Jongkong Emas (keyboard dan synth), Golden Mammoth dan

Captn Trips and the Kid serta Akmal (bass) Plong dan Sayonara Boys.

“Hai Nona Manis mempunyai gaya rentak yang aneh, penuh emosi dan menimbulkan suasana romantis bernafas baharu,” ulas Yasin.

Lagu tersebut sedia dilayari dalam pelbagai platform penstriman seperti Spotify, JOOX, iTunes dan Deezer.

Video liriknya yang mendapat sentuhan pengarah Irfan Aljuffry sudah tersedia dalam YouTube Luncai Emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI