fbpx

Malaysia saran tiga faktor utama asas kerjasama ASEAN-China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Kerjasama ASEAN-China pada masa depan harus ditingkatkan demi pemulihan ekonomi dari wabak menerusi kerjasama perdagangan serta pelaburan terbuka, memperkukuh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan gelembung perjalanan rentas sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan mengukuhkan pemusatan ASEAN dan memberi tumpuan dalam mencipta persekitaran baik dan kerjasama strategik beliau berharap negara terlibat akan dapat mengatasi krisis pandemik sekali gus muncul lebih kuat serta berdaya tahan.

“Dalam gelombang baharu penularan wabak, kedua belah pihak harus bekerjasama untuk meneruskan hubungan perdagangan pelbagai hala berteras peraturan di samping menjadi pemudah cara bagi mengharungi krisis.

“Seperti digariskan dalam Kerangka Pemulihan Ekonomi ASEAN, kita harus berusaha mengekalkan hubungan rantaian bekalan tanpa gangguan dan memudahkan pergerakan barang keperluan serta perkhidmatan.

“Dengan mengalih sekatan tidak perlu untuk perdagangan dan langkah perdagangan terhad yang baharu, kita akan kembali hampir kepada kadar pertumbuhan ekonomi seperti semasa pra-pandemik,” katanya dalam ucapan secara rakaman video bersempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-18 hari ini.

Beliau berkata, usaha itu dilihat lebih penting kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan ia membentuk tulang belakang ekonomi dan sekarang adalah masa yang tepat buat ASEAN dan China untuk mempromosi kerjasama dalam perkongsian ekonomi digital bagi memacu penggunaan teknologi PKS.

Beliau berkata, ASEAN dan China merupakan rakan perdagangan terbesar tahun lalu dengan China kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia dengan jumlah keseluruhan USD$37.92 bilion (RM157.04 bilion) dan menyumbang 16.2 peratus jumlah eksport negara.

Katanya, RCEP yang ditandatangani selepas lapan tahun rundingan, menunjukkan kepada dunia bahawa ASEAN bersama-sama Rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk China, komited terhadap rantaian bekalan negara rentas negara pada masa yang sama memastikan pasaran dapat dibuka meskipun di tengah kesulitan akibat wabak global.

“Inisiatif berhubung gelembung perjalanan dan aturan kuarantin boleh diteroka antara ASEAN dan China dan dengan melakukannya, kita akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menghidupkan kembali industri pelancongan dan perhubungan sesama manusia.

“Begitu juga dengan pengiktirafan sijil perakuan vaksinasi yang dilihat merupakan satu lagi bidang yang berpotensi untuk kita saling bekerjasama,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha kreatif sangat penting dalam mengembalikan hubungan antara masyarakat berikutan pandemik telah menyekat pergerakan sempadan memandangkan perjalanan masih dianggap sebagai aktiviti bersiko tinggi.

Menurutnya, justeru adalah amat baik jika ASEAN secara aktif membangunkan rangka kerja pengaturan koridor perjalanan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan seterusnya menetapkan rantau yang stabil untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

CAEXPO yang bertemakan Kerjasama Memajukan Kualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) Mempromosikan Pembangunan Lestari diadakan secara hibrid di bandar Nanning, China selama empat hari hingga Isnin ini.  – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI